Isnin, 8 Jun 2020 | 8:51pm
Lapan remaja melepak di apartmen Labuan dikompaun oleh polis. - Foto NSTP/JUWAN RIDUAN
Lapan remaja melepak di apartmen Labuan dikompaun oleh polis. - Foto NSTP/JUWAN RIDUAN

Ingkar PKPB: Polis kompaun lapan remaja

LABUAN: Polis mengenakan kompaun ke atas lapan remaja kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuat kuasa, hari ini.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad, berkata suspek lelaki berusia 17 hingga 19 tahun ditahan pasukan pemantauan PKPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, kira-kira jam 5 pagi tadi.

Beliau berkata, polis menerima aduan daripada orang awam berkenaan sekumpulan remaja berkumpul dan membuat bising di koridor apartmen, di sini.

Katanya, polis mengunjungi apartmen terbabit dan mendapati remaja terbabit bermain permainan video di telefon bimbit.

"Semua remaja terbabit berkumpul dengan mengabaikan penjarakan sosial. Mereka dibawa ke Balai Polis Labuan untuk tindakan kompaun," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata, kompaun dikenakan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 6) 2020, iaitu kesalahan mengadakan suatu perhimpunan sosial yang dilarang.

"Kesalahan kompaun itu memperuntuk hukuman denda RM1,000 dan hendaklah dibayar dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pejabat Kesihatan Labuan.

"Kegagalan membayar kompaun dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil oleh pihak Jabatan Kesihatan Labuan," katanya.

Berita Harian X