Selasa, 30 Jun 2020 | 10:17pm

'Sempat dia gurau, peluk, cium saya'

SUNGAI SIPUT: "Biasanya dia tidur bersama abang kembarnya tapi semalam tiba-tiba dia nak tidur dengan saya. Sempat juga dia bergurau, peluk dan cium saya," kata Mohd Baharudin Mohd Noor mengenai anak bongsunya yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak, petang tadi.

Nelayan darat berusia 38 tahun dari Kampung Jawang, dekat sini, berkata Muhammad Danish Irfan yang berusia enam tahun juga kelihatan lebih ceria pagi tadi berbanding kebiasaannya.

Mohd Baharudin berkata, dia tidak menyangka kelakuan ditunjukkan anak bongsunya itu sebagai petanda kepada mereka sekeluarga jika ditakdirkan anaknya itu dijumpai dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

"Dia memang amat rapat dengan saya berbanding dengan ibunya. Tiada apa yang saya minta melainkan biarlah jasad anak saya dijumpai dalam keadaan masih sempurna (sekiranya dijumpai sudah tidak bernyawa).

"Saya nelayan sungai ini serta pernah beberapa kali terbabit sama dalam operasi mencari mangsa lemas di sini. Jadi saya tahu bahawa jasad manusia yang berada di air melebihi tiga hari akan mula mereput," katanya ketika ditemui semasa operasi mencari anaknya itu yang turut disertainya menaiki bot.

Muhammad Danish Irfan dikhuatiri lemas ketika mandi bersama abang kembar serta kakaknya yang berusia tujuh tahun di Sungai Perak berdekatan Kampung Loh, Karai, di sini, kira-kira jam 2 petang tadi.

Turut mandi bersama adalah dua saudara mangsa dalam lingkungan usia hampir sebaya, dengan ditemani ibu saudara mangsa yang juga adik ipar Mohd Baharudin berusia 27 tahun.

Mohd Baharudin berkata, kenangan manis terakhir antara dia dengan anaknya ialah ketika mereka sekeluarga membeli pakaian baharu di Ipoh sejurus Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan mulai 10 Jun lalu.

"Memang dia anak paling rapat dengan saya dan sewaktu dia tidur bersama saya semalam pun, seakan tidak terungkap di perkataan saya apabila dia memeluk dan mencium pipi saya. Itu yang buatkan saya sangat terasa (jika kehilangannya)," katanya.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, seramai 53 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan nelayan darat menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pencarian awal dilakukan dalam lingkungan 700 meter dari lokasi mangsa dilaporkan mula hanyut sebelum ia dilanjutkan kepada tujuh kilometer berikutan arus deras.

Sehingga jam 10 malam, usaha mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan.

Mohd Baharudin Mohd Noor, 38, (kanan) bapa kepada kanak-kanak yang dikhuatiri lemas, Muhammad Danish Irfan Mohd Baharudin, 6, ketika mandi bersama dua lagi anaknya di Sungai Perak berdekatan Kampung Loh, Karai, di sini, kira-kira 2 petang tadi. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Mohd Baharudin Mohd Noor, 38, (kanan) bapa kepada kanak-kanak yang dikhuatiri lemas, Muhammad Danish Irfan Mohd Baharudin, 6, ketika mandi bersama dua lagi anaknya di Sungai Perak berdekatan Kampung Loh, Karai, di sini, kira-kira 2 petang tadi. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Berita Harian X