Khamis, 2 Julai 2020 | 11:31pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Thailand rampas 1.42 tan dadah 'ice' dipercayai cuba diseludup ke Malaysia

NARATHIWAT: Pihak berkuasa Thailand merampas 1.42 tan dadah jenis 'ice' atau kristal methamphetamine bernilai kira-kira 284 juta baht (kira-kira RM35 juta) yang dipercayai untuk diseludup ke Malaysia, di sini, awal pagi tadi.

Pihak berkuasa turut menahan dua warga Thai dari Nakhon Si Thammarat dalam kejadian kira-kira jam 2.00 pagi (waktu tempatan).

Komander Polis Bahagian Ke-9, Lt Jen Pol Ronnasilp Phusara, berkata semua dadah itu ditemui dalam 35 beg diletakkan dalam sebuah treler membawa batang besi dari Bangkok ke Tak Bai di wilayah Narathiwat.

"Suspek memberitahu bahawa mereka dibayar 600,000 baht untuk menghantar dadah ke Narathiwat.

"Suspek memberitahu ini adalah kali kedua mereka membuat penghantaran," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek dijadualkan menghantar dadah dari Bangkok ke Tak Bai di sempadan Thailand-Malaysia untuk diserahkan kepada seorang lelaki bagi tujuan diseludup ke Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X