Ahad, 5 Julai 2020 | 4:21pm
Sebahagian daripada 21 individu yang ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah unit kondominium di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, awal pagi semalam
Sebahagian daripada 21 individu yang ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah unit kondominium di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, awal pagi semalam

Ingkar PKPP, 21 dikompaun sertai pesta liar, dadah

KUALA LUMPUR: Seramai 21 individu termasuk 11 warga asing, yang menyertai pesta liar ditahan polis selepas menyerbu sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, Brickfields di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Naktotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kira-kira jam 1.30 pagi itu, mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan 10 wanita berusia di antara 20 hingga 39 tahun.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi, berkata sembilan warga tempatan termasuk lima wanita serta 11 warga asing termasuk lima wanita ditahan dalam serbuan itu.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 0.5 gram.

"Siasatan mendapati seorang lelaki tempatan yang turut ditahan dalam serbuan itu, menjadi penganjur. Kondominium itu disewa daripada seorang lelaki warga Jerman dikenali menerusi aplikasi sosial golongan gay," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, saringan air kencing mendapati sembilan daripada mereka yang ditahan, didapati positif dadah yang memperoleh bahan itu daripada seorang lelaki tempatan.

Katanya, siasatan mendapati peserta parti liar itu dijemput melalui aplikasi WhatsApp dan mereka tidak dikenakan sebarang bayaran.

Kesemua mereka dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mengikut Peraturan 11, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.2) 2020.

"Sembilan suspek yang didapati positif dadah, direman tiga hari di Lokap Berpusat Jinjang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama.

"Kita minta orang ramai supaya tidak menyertai atau mengadakan sebarang kegiatan parti liar atau 'private party' kerana tindakan tegas berlandaskan undang-undang boleh dikenakan terhadap peserta dan penganjur," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan sedemikian boleh menyalurkannya kepada pihak IPD Brickfields di talian 03-2297 9222.

Berita Harian X