Ahad, 5 Julai 2020 | 7:00pm

Akhirnya semua 'kembali'

BACHOK: Penantian hampir seminggu keluarga mangsa bot terbalik yang hilang akhirnya menemui noktah apabila mangsa terakhir, Arman Ismail, 42, ditemui terapung di laut kira-kira 40 batu nautika dari Jeti Perikanan Kemasin, jam 2.20 petang, hari ini.

Penemuan korban kelapan tragedi itu ditemui nelayan dan anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang membuat rondaan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Shamsulmuddin Sulaiman, berkata jenazah mangsa tiba di jeti jam 5.12 petang tadi.

Katanya, pengesahan identiti mangsa disahkan Arman berdasarkan pakaian oleh kakak mangsa, Aida Ismail, 50, dan keluarga berdasarkan pakaian mangsa.

"Selain itu, pemeriksaan pada mayat turut menemukan kad pengenalan diri, kad bank dan dokumen mengandungi nama mangsa.

"Penemuan ini menjadikan kesemua mangsa yang hilang sudah berjaya ditemui kesemuanya," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, jenazah mangsa yang berasal dari Bukit Marak itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, untuk bedah siasat.

Kakak mangsa, Aida Ismail, (depan) dan isteri tekong bot, Halifa Mohd Noor, 47 (belakang) yang juga saudara mangsa, Arman Ismail, hadir membuat pengecaman identiti mangsa yang ditemui hari ini dan dibawa ke Jeti Perikanan Kemasin, Bachok. - NSTP/Nor Amalina Alias
Kakak mangsa, Aida Ismail, (depan) dan isteri tekong bot, Halifa Mohd Noor, 47 (belakang) yang juga saudara mangsa, Arman Ismail, hadir membuat pengecaman identiti mangsa yang ditemui hari ini dan dibawa ke Jeti Perikanan Kemasin, Bachok. - NSTP/Nor Amalina Alias

Sementara itu, Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata mayat mangsa terakhir ini dijumpai kira-kira 31.4 batu nautika daripada jarak lokasi kejadian bot terbalik.

Katanya, mangsa terakhir ini ditemui pada jarak tiga batu nautika daripada mayat mangsa yang ketujuh ditemui juga pada hari ini.

"Maritim Malaysia berjaya membawa balik mayat mangsa dengan bantuan nelayan dan kerjasama daripada semua pihak dan agensi yang terbabit dalam SAR.

"Kita akan terapkan kerjasama seperti ini dalam operasi akan datang kerana kita sudah melihat dengan bantuan sistem Sarop dan nelayan dan agensi, kita dapat selesaikan pencarian dengan cepat," katanya.

Isnin lalu, sebuah bot yang dinaiki 20 individu termasuk tekong bot terbalik di Perairan Kemasin mengakibatkan 12 mangsa selamat, empat meninggal dunia dan empat mangsa hilang.

Bagaimanapun, mangsa yang hilang disahkan meninggal dunia selepas mereka ditemui satu-persatu sehingga baki dua lagi mangsa berjaya ditemui sekali gus hari ini.

Berita berkaitan:

  • Mayat terakhir mangsa bot terbalik ditemui
  • Mayat ketujuh mangsa bot terbalik ditemui
  • SAR mangsa bot terbalik tumpu di perairan Thailand, Perhentian
  • Bot karam: Petugas SAR, keluarga keletihan
  • 10 bot nelayan bantu operasi SAR mangsa bot terbalik
  • Polis Marin Diraja Thailand sertai SAR
  • Kawasan pencarian mangsa hilang diperluas
  • Maritim Malaysia buka kertas siasatan bot terbalik
  • Tragedi bot terbalik: Mayat keenam ditemui
  • Selaman ketiga di bot terbalik selepas hidu bau busuk
  • Tragedi bot terbalik: Solat hajat ikhtiar terakhir keluarga mangsa hilang
  • Bot terbalik ragut lima nyawa ditunda ke Jeti Kuala Besar


  • Anggota bomba membawa jenazah Arman yang ditemui terapung di laut kira-kira 40 batu nautika dari Jeti Perikanan Kemasin, jam 2.20 petang, hari ini. - NSTP/Nor Amalina Alias
    Anggota bomba membawa jenazah Arman yang ditemui terapung di laut kira-kira 40 batu nautika dari Jeti Perikanan Kemasin, jam 2.20 petang, hari ini. - NSTP/Nor Amalina Alias
    Berita Harian X