Selasa, 7 Julai 2020 | 2:47pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Didenda RM6,000 cubit telinga bayi anak jiran

KUALA LUMPUR: Padah mencubit telinga bayi berusia 10 bulan sehingga lebam, seorang suri rumah dihukum denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu terhadap Noor Aziana A Samad, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang juga anak jirannya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, ketika ditanya mengapa tertuduh mencubit mangsa, Noor Aziana menjawab:

"Saya berasa geram kerana mangsa sentiasa menangis dan keadaan rumah pada masa itu tiada air,".

Berdasarkan kertas pertuduhan, ibu anak tiga itu didakwa mencubit bayi lelaki berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan pada kedua-dua telinga mangsa di sebuah rumah di Taman Melati, Wangsa Maju di sini, jam 2 petang, 5 Mac lalu.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Noor Aziana yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman denda dengan alasan mempunyai anak kecil berusia setahun dan tidak bekerja.

Mengikut fakta kes, ibu mangsa yang mengambil anaknya dari rumah tertuduh mendapati ada kesan lebam di telinga dan luka di dahi serta tangan kiri mangsa.

Pengadu kemudian bertanya kepada tertuduh dan dimaklumkan anaknya menggigit mangsa.

Namun, selepas pengadu memberitahu mahu membuat laporan polis, tertuduh mengaku mencubit mangsa kerana menangis dan juga geram dengan keadaan di rumahnya yang tiada air sehingga tidak dapat mengawal kemarahan.

Berita Harian X