X
Jumaat, 10 Julai 2020 | 11:50pm
NUR Ismalinda Muzafar tidak dapat menahan kesedihan selepas suami, Wan Ahmad Adam Murshidy, dan abangnya, Noriskandar Muzafar, maut dalam kemalangan. NSTP/Ghazali Kori
NUR Ismalinda Muzafar tidak dapat menahan kesedihan selepas suami, Wan Ahmad Adam Murshidy, dan abangnya, Noriskandar Muzafar, maut dalam kemalangan. NSTP/Ghazali Kori

Hadiah terakhir untuk anak sulung bakal lahir

KUALA BERANG: Baju bayi baru dibeli untuk anak sulung bakal dilahirkan, menjadi hadiah terakhir ditinggalkan Wan Ahmad Adam Murshidy Wan Rosli, 24, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 42 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring), di sini, semalam.

Isteri Wan Ahmad Adam Murshidy, Nur Ismalinda Muzafar, 25, berkata baju dibeli beberapa jam sebelum kejadian itu adalah untuk anak mereka yang dijangka dilahirkan pada 16 September depan.

"Tengah hari semalam, saya keluar bersama suami. Ketika berada di sebuah kedai, suami nampak baju cantik dan mahu membelinya untuk anak kami yang dijangkakan lahir pada 16 September depan.

"Memang tidak mengesyaki apa-apa apabila suami memberitahu ingin membeli baju itu, rupa-rupanya ia adalah hadiah terakhir daripada arwah," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Hulu Terengganu, hari ini.

Menceritakan lanjut, Nur Ismalinda berkata, Allahyarham bersama abang beliau, Noriskandar Muzafar, 33, dan tiga lagi rakan bertolak ke Perak kira-kira jam 4 petang semalam atas urusan kerja.

"Saya sempat salam dan suami menggosok kepala serta perut saya tetapi perkara itu biasa. Ketika itu, arwah kelihatan ceria.

"Arwah suami dan abang memang rapat, cuma mereka nampak lebih akrab dalam tempoh seminggu ini serta selalu bersama," katanya.

Nur Ismalinda berkata, beliau menerima mesej terakhir daripada suami pada jam 4.30 petang yang mengingatkannya untuk memberi kucing makan.

"Saya ada mesej suami melalui WhatsApp pada jam 7.30 malam, namun tiada jawapan dan tidak mengesyaki apa-apa.

"Saya hanya tahu mengenai kemalangan itu selepas dihubungi polis kira-kira jam 11 malam," katanya yang tinggal di Kuala Nerus.

Selain Wan Ahmad Adam Murshidy, nahas itu turut meragut nyawa Noriskandar dan dua lagi mangsa.

Berita Harian X