Khamis, 23 Julai 2020 | 3:03pm
Dadah jenis methaphetamine dan pil eramin five yang ditemui JSJN, IPD Brickfields susulan penahanan seorang lelaki disyaki ‘tokan’ dadah di Pantai Dalam, semalam. Foto Ihsan Polis
Dadah jenis methaphetamine dan pil eramin five yang ditemui JSJN, IPD Brickfields susulan penahanan seorang lelaki disyaki ‘tokan’ dadah di Pantai Dalam, semalam. Foto Ihsan Polis

'Tokan' dadah di Pantai Dalam diberkas

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai bergiat aktif mengedar dadah di sekitar kawasan rumah pangsa di Pantai Dalam di sini, diberkas dalam serbuan oleh Polis Daerah Brickfields, petang semalam.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, selepas dilaporkan aktif mengedar dadah syabu pil eramin five sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin, berkata suspek ditahan pada jam 5.45 petang di bawah blok sebuah pangsapuri di Pantai Dalam.

"Hasil pemeriksaan menemui satu paket dadah methaphetamine seberat 1,020 gram dianggarkan bernilai lebih RM40,000 dan 100 keping foil pil eramin five bernilai RM15,000.

"Suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah serta positif ujian air kencing, direman selama enam hari bermula hari ini hingga 28 Julai ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, sabit kesalahan suspek terbabit boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati selepas siasatan dibuka mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pada masa ini pihak polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai pembekal kepada suspek terbabit," katanya.

Beliau memberi amaran keras kepada orang awam untuk tidak terbabit dengan sebarang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti berkenaan boleh menyalurkannya kepada IPD Brickfields di talian 03-22979222.

Berita Harian X