Isnin, 27 Julai 2020 | 3:38pm
VIDEO tular seorang lelaki memakai gelang berwarna merah jambu dipercayai gelang pengawasan kuarantin COVID-19 duduk di lobi sebuah kondominium di Mont Kiara.
VIDEO tular seorang lelaki memakai gelang berwarna merah jambu dipercayai gelang pengawasan kuarantin COVID-19 duduk di lobi sebuah kondominium di Mont Kiara.

PUS dikompaun kerana keluar dari kondominium

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang juga orang di bawah pemantauan (PUS) dikenakan kompaun kerana melanggar perintah kuarantin apabila keluar daripada kediamannya untuk ke lobi sebuah kondominium di Mont Kiara pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi, berkata tindakan kompaun dikenakan selepas polis mendapat maklumat berhubung perbuatan tidak bertanggung jawab individu PUS berkenaan.

"Tindakan kompaun sudah dikenakan terhadap lelaki berusia 66 tahun itu oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sri Hartamas, kira-kira jam 10 pagi, Selasa lalu susulan aduan awam.

"Semakan mendapati lelaki berkenaan baru pulang dari Singapura dan diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari bermula 12 Julai sehingga 25 Julai lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, lelaki berkenaan memberi alasan keluar dari kediamannya untuk mengambil surat dari peti yang terletak di lobi berkenaan.

Menurut Zairulnizam, lelaki itu dikenakan kompaun mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 7) 2020.

"Susulan kejadian itu, kita terima satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki memakai gelang berwarna merah jambu dipercayai gelang pengawasan kuarantin COVID-19 duduk di lobi sebuah kondominium di Mont Kiara, kira-kira jam 3 petang semalam.

"Semakan mendapati rakaman video itu adalah berkait dengan kejadian pada Selasa lalu dan ia dikesan ditularkan di media sosial sejak semalam," kata beliau.

Katanya, ini adalah kes keempat membabitkan PUS yang didapat ingkar arahan kuarantin dan dikenakan tindakan kompaun sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ketidak patuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP boleh menghubungi Polis Brickfields di talian 03-22979222 untuk menyalurkan maklumat.

Berita Harian X