Isnin, 6 Oktober 2014 | 4:41pm

Hanya 18.6 peratus pencarum PERKESO jalani pemeriksaan kesihatan

MARAN: Hanya 18.6 peratus atau 372,000 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berumur 40 tahun ke atas menggunakan baucer bagi menjalani pemeriksaan kesihatan percuma setakat akhir bulan lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, berkata bagi yang belum menjalani pemeriksaan kesihatan berkenaan, mereka perlu segera berbuat demikian kerana baucer itu hanya sah sehingga akhir Disember ini.

"PERKESO mengeluarkan dua juta baucer pemeriksaan kesihatan percuma kepada pencarumnya sejak Januari tahun lalu namun masih ramai yang tidak menjalani pemeriksaan yang sepatutnya dilakukan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis korban perdana membabitkan 46 ekor lembu di tapak Pekan Sehari Chenor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan lebih 320,000 ujian saringan dijalankan, hampir 66 peratus pekerja tidak pernah menjalani pemeriksaan, 62 peratus pula obes, kolestrol tinggi (61 peratus), tekanan darah tinggi (41 peratus) dan kencing manis (16 peratus).

Sementara itu, katanya, daripada 103,652 pekerja wanita yang menjalani ujian pap smear, 343 daripadanya menunjukkan keputusan tidak normal dan bagi pemeriksaan mamogram terhadap 108,000 pekerja pula, 707 dikategorikan berisiko manakala 124 lagi berisiko tinggi.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, kerajaan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi pemeriksaan percuma itu dengan kadar RM85 untuk lelaki dan RM215 bagi wanita.

Katanya, sebanyak 3,185 klinik, 232 makmal dan 104 pusat mamogram dilantik sebagai panel pemeriksaan tersebut di seluruh negara.

- BERNAMA

Berita Harian X