Isnin, 12 Januari 2015 | 5:07pm

481 syarikat dari 35 negara gamatkan LIMA edisi 2015

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menteri-Menteri LIMA'15, di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menteri-Menteri LIMA'15, di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR : Sebanyak 481 syarikat membabitkan 35 buah negara akan terbabit dalam Pameran Antarabangsa Aeroangkasa dan Maritim Langkawi Ke-15 (LIMA'15) bermula 17 hingga 21 Mac depan.

Jumlah penyertaan itu berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 11 beratus atau 481 syarikat pempamer berbanding penganjuran bagi tahun sebelum ini, iaitu 433 syarikat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, pihaknya juga menyasarkan penyertaan sehingga 500 syarikat bagi LIMA'15.

"Sebanyak 92 peratus ruang pameran yang diperuntukkan pada kali ini sudah habis terjual dan ditempah," katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menteri-Menteri LIMA'15, di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau berkata, edisi LIMA'15 kali ini turut membabitkan gabungan dan kerjasama daripada agensi dan kementerian lain.

Kementerian Pengangkutan; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Kesihatan; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Pelancongan; Kementerian Kerja Raja; Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) antara yang terbabit.

LIMA'15 juga akan menyaksikan pelancaran Pelan Tindakan Aeroangkasa Nasional kedua yang menggariskan rancangan pertumbuhan industri aeroangkasa Malaysia bagi tempoh 15 tahun akan datang, selain tujuh persidangan berkaitan industri berkenaan.

Sementara itu, Hishamuddin menjelaskan, LIMA'15 kali ini juga akan memberi fokus kepada pembabitan negara ASEAN sebagai salah satu komitmen Malaysia dalam meneraju ASEAN bermula tahun ini.

Katanya, beberapa aktiviti berkaitan ASEAN akan diadakan termasuk Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), forum perniagaan ASEAN, program kesukarelawan belia ASEAN serta karnival seni dan kebudayaan ASEAN.

"Antara yang dijangka dibincang dalam ADMM merangkumi ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS) dan persediaan ASEAN menghadapinya, isu keselamatan siber dan maritim serta inisiatif dalam memperkukuh kerjasama erat negara anggota," katanya.

Lebih 100 pesawat serta 50 aset maritim akan dipamerkan sepanjang LIMA'15 kali ini.

Berita Harian X