Rabu, 18 March 2015 | 10:18am

PRK DUN Chempaka: Pusat pengundian awal dibuka, 1,497 orang layak undi

Calon-calon PRK DUN Chempaka meninjau proses pengundian awal di Kem Pengkalan Chepa, pagi ini. - Foto BERNAMA
Calon-calon PRK DUN Chempaka meninjau proses pengundian awal di Kem Pengkalan Chepa, pagi ini. - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Sejumlah 1,497 anggota tentera bersama pasangan akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang berlangsung di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa di sini.

Pusat pengundian awal itu dibuka pada jam 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 5 petang ini.

Proses pengundian awal itu turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan, selain pemerhati tempatan yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dengan kebenaran daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

PENGUNDI awal mula membuat pengudian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu pagi ini. - Foto BERNAMA
PENGUNDI awal mula membuat pengudian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu pagi ini. - Foto BERNAMA

PRK DUN Chempaka ini menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon bebas.

PAS diwakili Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka Ahmad Fathan [email protected], 42, manakala empat calon bebas terdiri daripada bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary (48), bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood (59), Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin (55), dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64.

Sejumlah 20,390 orang pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Ahad ini. - BERNAMA

Berita Harian X