Ahad, 5 April 2015 | 5:58pm

Kehilangan ayah tidak patah semangat terus pengajian - Amirul

Datin Azlina Mohamad (kanan) ditenangkan anaknya, Amirul Akmal Azlin 19 (kiri), di pusara, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Azlin Alias setelah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Batu 13, Jalan Cheras, Kajang. - Foto Sairien Nafis
Datin Azlina Mohamad (kanan) ditenangkan anaknya, Amirul Akmal Azlin 19 (kiri), di pusara, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Azlin Alias setelah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Batu 13, Jalan Cheras, Kajang. - Foto Sairien Nafis

KAJANG: Kehilangan ayah tersayang tidak akan mematahkan semangat untuk meneruskan pengajian dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, kata Amirul Akmal, anak kedua kepada Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Amirul, 19, yang sedang menduduki peperiksaan peringkat A-Level di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin, Selangor berkata, kali terakhir beliau berbual bersama ayahnya pada Selasa lepas.

"Dalam perbualan itu, saya beritahu tidak begitu yakin dengan jawapan satu daripada kertas peperiksaan yang diduduki dan ayah memberi kata-kata semangat supaya terus mencuba dan belajar bersungguh-sungguh.

"Saya akan pegang kata-kata perangsang ayah untuk meneruskan pengajian dengan mencatat keputusan yang lebih baik," katanya ketika ditemui semasa pengebumian ayahnya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Batu 13, Jalan Cheras, di sini.

Jenazah Azlin selamat dikebumikan pada 2.30 petang. Sebelum itu, solat jenazah dilakukan di kediamannya dan di Surau Saujana Impian, di sini.

Terdahulu, hujan renyai-renyai mengiringi pengebumian Allahyarham Azlin yang dihadiri ratusan anggota keluarga, saudara-mara dan rakan.

Suasana pilu dan hiba menyelubungi khemah di tanah perkuburan itu apabila van yang membawa jenazah Allahyarham tiba pada 2.15 petang.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta anak dan menantu, Nooryana Najwa dan Daniyar Kessibayev.

Selain itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam; dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Azlin, 48, yang mula berkhidmat bersama Najib pada 2008, maut apabila helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) yang dinaiki bersama lima yang lain terhempas di kawasan kebun getah di Semenyih.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Azlina Mahmad, 48, serta dua anak lelaki iaitu Amir Ashraf, 22, dan Amirul serta seorang anak perempuan, Aisha Maryam, 14.

- BERNAMA

Berita Harian X