Rabu, 23 Disember 2015 | 6:00pm

PM kongsi rasa sedih keluarga nahas Chiang Mai

DATUK Seri Najib Razak melahirkan rasa simpati dan meminta ahli keluarga yang terkorban dalam kemalangan bas di Lebuh Raya Chiang Mai-Chiang Rai, berhampiran Doi Saket, Chiang Mai, Thailand Ahad lalu tabah menghadapi dugaan.
DATUK Seri Najib Razak melahirkan rasa simpati dan meminta ahli keluarga yang terkorban dalam kemalangan bas di Lebuh Raya Chiang Mai-Chiang Rai, berhampiran Doi Saket, Chiang Mai, Thailand Ahad lalu tabah menghadapi dugaan.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa simpati dan meminta ahli keluarga yang terkorban dalam kemalangan bas di Lebuh Raya Chiang Mai-Chiang Rai, berhampiran Doi Saket, Chiang Mai, Thailand Ahad lalu, tabah menghadapi dugaan itu.

Menerusi laman sosial peribadi, Perdana Menteri hari ini turut berkongsi kesedihan dengan ahli keluarga mangsa.

"Jenazah rakyat kita yang terkorban di Chiang Mai sudah dibawa pulang ke tanah air awal pagi ini dalam pesawat C130.

"Saya turut berkongsi rasa sedih ahli keluarga mereka dan saya doakan semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini," katanya.

Pesawat C130 TUDM tiba pada jam 3.30 pagi tadi dengan membawa keluarga mangsa terkorban bersama seorang mangsa yang tercedera, manakala pesawat milik Thailand tiba 15 minit kemudian yang membawa 13 mayat yang terkorban dalam nahas itu.

Lapan lagi mangsa rakyat Malaysia yang tercedera termasuk lima kritikal masih berada di Hospital Miharaj di Chiang Mai, Thailand.

Sementara itu dalam status berasingan, Perdana Menteri berharap rakyat mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memandu dengan cermat supaya dapat tiba dengan selamat ke destinasi yang dituju.

"Cuti panjang minggu ini, tentu ramai akan mulakan rancangan percutian bersama keluarga, melancong atau pulang ke kampung.

"Saya harap semua mengambil langkah berjaga-jaga dan jika memandu, pandulah dengan cermat. Semoga tiba ke destinasi dengan selamat, Insya-Allah," katanya.

Berita Harian X