Isnin, 29 Ogos 2016 | 3:12pm

Kuasa Yang di-Pertuan Agong: Perlu rujuk semula ke Parlimen

KUALA LUMPUR: Sebarang usaha meminda semula Perlembagaan Persekutuan berkaitan usaha mengembalikan kuasa Yang di-Pertuan Agong perlu dibawa ke Parlimen sekali lagi untuk pindaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia berikutan kerajaan perlu mengkaji secara menyeluruh sebarang pindaan kes undang-undang yang sudah diluluskan Perlembagaan atau mempunyai krisis Perlembagaan.

Beliau berkata, undang-undang sedia ada boleh dipinda tetapi ia perlu mempunyai justifikasi.

"Kita tidak mahu situasi politik membawa undang-undang kepada keadaan flit flop (turun naik).

"Apabila undang-undang sudah dibentang dan diluluskan Parlimen dan Dewan Negara untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, undang-undang berkenaan mesti diteruskan.

"Perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah syarat dalam Perlembagaan tetapi apabila Perlembagaan membenarkan selepas beberapa hari undang-undang berkenaan untuk diteliti, ia secara automatik menjadi undang-undang.

"Perkara ini termaktub dalam Perlembagaan sehingga Perlembagaan berkenaan dipinda semula," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jabatan Bantuan Guaman (JBG), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JBG, Datuk Haini Hassan.

Sementara itu, JBG merekodkan 6,802 kes dikendalikan jabatan berkenaan sehingga Mei lalu membabitkan khidmat nasihat, pengantaraan, keluarga syariah, keluarga sivil, sivil dan jenayah.

Berita Harian X