Jumaat, 16 Disember 2016 | 5:13pm

Lebih 1,500 hadir Himpunan Solidariti #SAVEALEPPO

KUALA LUMPUR: Lebih 1,500 peserta menghadiri Himpunan Solidariti '#SAVEALEPPO' di hadapan Kedutaan Russia di sini, hari ini bagi mengutuk serangan rejim Bashar Al-Assad di Aleppo, Syria.

Peserta dari seluruh negara termasuk warga Syria mula berkumpul di sekitar Kedutaan Russia sebaik selesai solat Jumaat sebelum himpunan bermula jam 2.30 petang tadi.

Perhimpunan secara aman anjuran Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dimulai dengan laungan takbir sebelum tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan berkenaan.

Selain Aman Palestin, NGO lain yang Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia dan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).

Pengarah Media Aman Palestin, Anas Abdul Wahab, berkata himpunan 30 minit itu bertujuan memberi tekanan kepada Russia yang menjadi sekutu paling besar kepada kerajaan Syria dalam melakukan kekejaman terhadap penduduk Aleppo.

Beliau berkata, pihaknya memahami bantuan Russia dalam menangani ancaman pemberontak tetapi kecewa apabila wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa.

"Kita juga mahu menyampaikan mesej rakyat Malaysia turut merasai penderitaan dialami mangsa kekejaman rejim Bashar.

"Kita ingin mereka membuka sekatan kepada misi kemanusiaan antarabangsa bagi menyalurkan bantuan makanan, pakaian dan perubatan kepada penduduk Aleppo.

"Dalam memorandum itu, kami menggesa kerajaan Russia menghentikan segala serangan dan kezaliman ke atas penduduk Aleppo," katanya ketika ditemui selepas Himpunan Solidariti di sini, hari ini.

Pada masa sama, Anas berkata, Aman Palestin turut melancarkan dana Misi Bantuan Kemanusiaan untuk Aleppo serta Tabung Derma Kilat pada September lalu yang menyasarkan kutipan AS$5 juta (RM20 juta).

"Dengan kutipan dana yang disumbangkan rakyat Malaysia itu, kami akan melakukan misi kemanusiaan yang dijadualkan hujung bulan ini di Aleppo.

"Kami akan menunggu lampu hijau daripada pihak keselamatan di negara berkenaan bagi membolehkan kami menghantar 10 sukarelawan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa kekejaman," katanya.

LEBIH 1,500 peserta menghadiri Himpunan Solidariti '#SAVEALEPPO' di hadapan Kedutaan Russia di Kuala Lumpur, hari ini bagi mengutuk serangan rejim Bashar Al-Assad di Aleppo, Syria. - Foto Azhar Ramli
LEBIH 1,500 peserta menghadiri Himpunan Solidariti '#SAVEALEPPO' di hadapan Kedutaan Russia di Kuala Lumpur, hari ini bagi mengutuk serangan rejim Bashar Al-Assad di Aleppo, Syria. - Foto Azhar Ramli
Berita Harian X