Sabtu, 25 Februari 2017 | 3:19pm

MCPF sokong hadkan waktu keluar remaja bawah umur

TAN Sri Lee Lam Thye berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setia Alam. - Foto Rosdan Wahid
TAN Sri Lee Lam Thye berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setia Alam. - Foto Rosdan Wahid

SETIA ALAM: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyokong supaya undang-undang untuk mengehadkan waktu keluar rumah digubal bagi remaja bawah umur, melainkan dengan pengawasan ahli keluarga.

Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata undang-undang berkaitan perlakuan anti sosial perlu diwujudkan, malah kejadian rempuhan kereta ke atas kumpulan remaja berbasikal di Johor, baru-baru ini, membuka mata semua pihak supaya cadangan itu dikuatkuasakan.

"MCPF tidak salahkan sesiapa pun kerana kadang-kadang ibu bapa sudah marah dan rotan anak mereka, tetapi anak tetap degil. Tambahan pula dengan perkembangan pesat dunia sekarang, ancaman bukan sahaja di luar, tetapi juga di dalam rumah menerusi laman sosial.

"Proses membesarkan anak semakin rumit dan mencabar yang memerlukan undang-undang khusus digubal," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Alam di sini, hari ini.

Yang hadir sama Yang Dipertua PIBG SMK Setia Alam, Puan Seri Mimi Nurliana Lim Abdullah dan Setiausaha MCPF Selangor, Datuk Muhammad Fuad Talib.

Mengikut Lam Thye, cadangan atau syor daripada pelbagai pihak, terutama daripada PIBG berhubung cadangan itu adalah penting, bagi mengelakkan berlakunya ketidakpuasan hati dalam kalangan pihak tertentu, jika ia diluluskan nanti.

"Semua lapisan masyarakat perlu beritahu setuju atau tidak berhubung cadangan ini. Saya yakin kerajaan bersikap terbuka menerima pandangan kerana kita semua mempunyai matlamat yang sama, iaitu membentuk generasi muda yang berakhlak dan berintegriti," katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata kerajaan mengkaji untuk memperkenalkan undang-undang khas bagi tindakan berkaitan perlakuan antisosial.

Nur Jazlan berkata, pada masa kini tiada undang-undang khusus yang boleh diambil polis bagi salah laku berkaitan sosial, namun ia sudah lama diguna pakai di negara Barat.

Berita Harian X