Sabtu, 3 Jun 2017 | 10:11am

Bekas Pengarang Bersekutu NST, Rehman Rashid meninggal

Rehman Rashid
Rehman Rashid

PETALING JAYA: Bekas Pengarang Bersekutu New Straits Times (NST), Rehman Rashid, 62, yang mengalami serangan jantung pada Januari lalu, meninggal dunia pagi tadi.

Adik Rehman, Rafique menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada media kira-kira jam 8.15 pagi yang memaklumkan abangnya meninggal dunia.

Sementara itu, Rafique ketika dihubungi Bernama, berkata Rehman meninggal dunia pada kira-kira 6.30 pagi di Hospital Selayang.

"Buat masa ini punca sebenar kematian masih belum diketahui namun kami jangkakan ia ada kaitan dengan serangan jantung yang beliau alami dulu," katanya.

Rehman mengalami serangan jantung ketika berbasikal sekitar Januari dan menerima rawatan di Hospital Selayang.

Jenazah Allahyarham akan dikafankan di hospital berkenaan sebelum dibawa ke Masjid Kuala Kubu Baru untuk solat jenazah, tengah hari ini.

Jenazah akan dikebumikan selepas solat Asar.

Allahyarham dilahirkan di Taiping, Perak pada 1955 dan mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan kemudian melanjutkan pengajian ke Universiti College Swansea, Wales.

Rehman adalah penerima anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 1985.

Beliau menjadi wartawan pada tahun 1981, selain bekas Pengarang Bersekutu NST, Allahyarham juga bekas kolumnis Asiaweek berpangkalan di Hong Kong serta menulis beberapa buku seperti ''Peninsula: A Story of Malaysia'' dan ''A Malaysian Journey''.

Berita Harian X