Sabtu, 3 Jun 2017 | 12:48pm

'Kebumikan saya di Kuala Kubu Bharu'

JENAZAH Allahyarham Rehman dibawa ke dalam van jenazah untuk dikebumikan di Kuala Kubu Bharu.
JENAZAH Allahyarham Rehman dibawa ke dalam van jenazah untuk dikebumikan di Kuala Kubu Bharu.

SELAYANG : "Kalau saya meninggal, kebumikan saya di Kuala Kubu Bharu." Itu pesanan terakhir bekas Pengarang Bersekutu New Straits Times (NST) Allahyarham Rehman Rashid yang meninggal dunia pagi tadi.

Adik kepada Allahyarham, Rafique Rashid, berkata dia tidak terkejut dengan pesanan terakhir abangnya kerana Allahyarham amat menyukai Kuala Kubu Bharu.

"Dia mula ke Kuala Kubu Bharu apabila dia ingin menulis bukunya yang pertama, ketika itu dia menyewa sebuah rumah di sana.

"Selesai sahaja menulis, dia kembali ke Kuala Lumpur dan pulang semula ke Kuala Kubu Bharu untuk menetap terus di sana selepas dia bersara," katanya ketika ditemui di Hospital Selayang tadi.

Allahyarham Rehman meninggal dunia pada jam 6.37 pagi tadi selepas mengalami komplikasi paru-paru akibat serangan jantung empat bulan lalu.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Jamek Ar Rahimah, Kuala Kubu Bharu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kubu Bharu Road.

Beliau dilahirkan di Taiping, Perak dan mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan kemudian melanjutkan pengajian ke Universiti College Swansea, Wales.

Rehman adalah penerima anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 1985.

Beliau menjadi wartawan pada tahun 1981, selain bekas Pengarang Bersekutu NST, Allahyarham juga bekas kolumnis Asiaweek berpangkalan di Hong Kong.

Beliau menulis beberapa buah buku, termasuk `Small Town in 2016, Pangkor: Treasure of the Straits, dan Peninsula: A Story of Malaysia.

Berita Harian X