Selasa, 18 Julai 2017 | 12:02am

Selesa, cepat naik MRT sepanjang jajaran 51km

KUALA LUMPUR: Pelancaran Transit Ali-ran Massa (MRT) Fasa 2 laluan Semantan-Kajang, hari ini, melengkapkan jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) sepanjang 51 kilometer (km).

Ia sekali gus menjadikan jumlah pengangkutan awam rel di sekitar Lembah Klang kepada lima, iaitu Komuter, Transit Aliran Ringan (LRT) dengan tiga laluan, iaitu Kelana Jaya, Sri Petaling dan Ampang; Monorel, ERL dan MRT.

MRT Fasa 1 yang menghubungkan Sungai Buloh hingga Semantan, mula beroperasi pada 16 Disember lalu, manakala Fasa 2 akan meneruskan jajaran terbabit menerusi laluan sepanjang 9.5km bagi seksyen bawah tanah dari Semantan ke Maluri dan 20.5km laluan dari Maluri ke Kajang, dengan jumlah 31 stesen keseluruhan.

MRT Fasa 1 membabitkan 12 stesen, iaitu Sungai Buloh; Kampung Selamat; Kwasa Damansara; Kwasa Sentral; Kota Damansara; Surian; Mutiara Damansara; Bandar Utama; Taman Tun Dr Ismail; Phileo Damansara; Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

Fasa 2 pula membabitkan Muzium Negara, Pasar Seni, Merdeka, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange, Cochrane, Maluri, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Mutiara, Taman Connaught, Taman Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 11 Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih, Stadium Kajang dan Kajang.

Terus ke lokasi strategik

Pelancaran MRT laluan SBK Fasa 2 juga membolehkan pengangkutan awam itu diintegrasi dengan perkhidmatan tren lain menerusi stesen Muzium Negara yang dihubungkan dengan KL Sentral, serta lima stesen pertukaran lain.

Berbeza dengan pengangkutan awam rel sebelum ini, laluan MRT SBK meliputi kawasan populasi tinggi yang sebelum ini tidak memiliki sebarang pengangkutan awam rel seperti Kota Damansara, Cheras dan beberapa kawasan di Kajang, selain turut menghubungkan penumpang ke destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara dan Pasar Seni.

Sebanyak 14 stesen terletak di kawasan strategik dan berpopulasi tinggi bagi membolehkan orang awam berulang alik ke pusat bandar, selain MRT juga memudahkan orang ramai untuk bergerak ke lokasi popular seperti Bukit Bintang tanpa perlu menempuh kesesakan.

Nilai hartanah di kawasan sepanjang laluan MRT juga dijangka akan meningkat antara 10 hingga 30 peratus, bergantung kepada lokasi.

MRT laluan SBK menggunakan 58 tren Siemens AG yang menggunakan tenaga elektrik serta kelajuan mencecah sehingga 100km sejam.

Setiap tren memiliki empat gerabak memuatkan 1,200 penumpang pada satu masa dengan kekerapan tren sekitar 3.5 minit dan jumlah penumpang dianggar lebih 400,000 setiap hari.

MRT-3 diteruskan

Projek Laluan Pertama MRT Sungai Buloh-Kajang, dengan kos RM23 bilion, mula dibina pada 8 Julai 2011, dan akan memberi perkhidmatan di sepanjang koridor yang mempunyai 1.2 juta penduduk.

Ia juga akan disusuli dengan jajaran MRT Kedua (MRT-2) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) sepanjang 52.5km yang dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2022 serta jajaran MRT Ketiga (MRT-3) yang masih pada peringkat perancangan, sekali gus membolehkan sasaran menjadikan 50 peratus daripada perjalanan di kawasan 'Greater Kuala Lumpur/ Lembah Klang' menggunakan pengangkutan awam dapat dicapai.

Info: Senarai stesen pertukaran

  • Sungai Buloh-KTM Komuter
  • Muzium Negara (melalui KL Sentral)
  • KTM Komuter, LRT laluan Kelana Jaya, KLIA Ekspres, KLIA Transit
  • Pasar Seni-LRT laluan Kelana Jaya
  • Bukit Bintang-Monorel
  • Maluri-LRT laluan Ampang
  • Kajang-KTM Komuter
  • Semua stesen MRT miliki fasiliti seperti eskalator, lif, pusat khidmat pelanggan, tandas, surau, telefon awam, serta fasiliti khas bagi orang kurang upaya (OKU).
  • Nilai hartanah di kawasan sepanjang laluan MRT juga akan meningkat antara 10 hingga 30 peratus, bergantung kepada lokasi.
  • Rekaan tujuh stesen bawah tanah diinspirasikan daripada rabung kuartza Empangan Klang Gate, selain setiap stesen memiliki keunikan tersendiri menggambarkan keunikan lokasi.
Berita Harian X