Rabu, 26 Julai 2017 | 5:45pm

Dijangka tiada jerebu tahun ini - Wan Junaidi

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yakin keadaan jerebu teruk yang melanda negara ini pada 2015 tidak akan berulang pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata timbul kebimbangan di kalangan rakyat selepas Agensi Mitigasi Bencana Indonesia (BNPB) semalam memberi amaran mengenai peningkatan ancaman kebakaran hutan berikutan cuaca kering yang melanda wilayah Aceh.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Indonesia memberi jaminan langkah proaktif sudah diambil pihak berkuasa negara itu untuk menangani jerebu, termasuk memadam kebakaran hutan dengan kadar segera.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa sidang media majlis perasmian Seminar Antarabangsa ke-18 tentang Isu-Isu Antarabangsa Semasa yang Mempengaruhi Perhutanan dan Produk Hutan di Hotel Marriott Putrajaya. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa sidang media majlis perasmian Seminar Antarabangsa ke-18 tentang Isu-Isu Antarabangsa Semasa yang Mempengaruhi Perhutanan dan Produk Hutan di Hotel Marriott Putrajaya. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

"Kita mendapati Indonesia mengambil tindakan secara besar-besaran dan rapi dalam menangani masalah itu tahun lalu, termasuk mengerah tentera, polis dan pegawai tempatan, selain menambah keperluan aset.

"Malaysia percaya tindakan sistematik dan agresif yang dilakukan oleh Indonesia dalam menangani jerebu dapat mengelak masalah pencemaran itu daripada berlaku pada tahun ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Mengenai Isu Semasa Hutan dan Hasil Perhutanan Ke-18 di sini, hari ini.

Semalam, BNPB memberi amaran mengenai peningkatan ancaman kebakaran hutan berikutan cuaca kering yang dijangka bertambah buruk di Aceh, sekali gus menyebabkan wilayah itu mengalami jerebu.

Bagaimanapun, Agensi Pemulihan Tanah Gambut Indonesia memberi jaminan bahawa negara jiran seperti Malaysia dan Singapura tidak mengalami jerebu kerana pihaknya sudah mengambil langkah baharu untuk menghentikan kebakaran hutan.

Indonesia sering mengalami kebakaran hutan sehingga menyebabkan asap tebal merebak ke Malaysia, seperti mana berlaku pada 2015.

Tambah Wan Junaidi, walaupun pada tahun lalu dikesan terdapat 200 titik panas di Indonesia, jerebu tidak berlaku di rantau ini.

"Indonesia mematuhi garis panduan seperti dikeluarkan oleh ASEAN menerusi Pelan Tindakan Bebas Jerebu menjelang 2020," katanya.

Berita Harian X