Khamis, 27 Julai 2017 | 2:02pm
TAN Sri Md Raus Sharif (kanan) ketika sesi suai kenal portal E-Log pada majlis pelancaran projek perintis E-lelong bagi kes kes lelong awam harta tak alih di Komplek Mahkamah Kuantan. Turut kelihatan, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali (kiri) dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin (dua kiri).- Foto Farizul Hafiz Awang
TAN Sri Md Raus Sharif (tengah) bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin (empat kiri), Hakim Besar Malaya, Tan Sri Wira Ahmad Maarop (dua kanan) dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali (kiri) menandatangani plak pelancaran pada majlis pelancaran projek perintis E-lelong bagi kes kes lelong awam harta tak alih di Komplek Mahkamah Kuantan.

e-Lelong tingkatkan integriti lelongan

KUANTAN: Projek perintis sistem e-Lelong mampu meningkatkan ketelusan dan integriti proses lelong awam harta tak alih di Mahkamah Tinggi Malaya yang sebelum ini terdedah kepada gangguan serta tekanan luar.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif, berkata projek perintis dilancarkan di Kompleks Mahkamah Kuantan di sini hari ini, selepas ada rungutan dan masalah lelong secara manual antaranya membabitkan banyak pihak, proses rumit dan mengambil masa lama.

Katanya, sistem e-Lelong yang diluluskan pada 1 Jun lalu, selepas melalui pelbagai proses termasuk mendapat persetujuan semua pihak mampu menjadi platform perkhidmatan awam digital menyeluruh seiring peredaran zaman.

"Badan Kehakiman memulakan projek perintis ini kerana menyedari ia memberi banyak impak positif bukan hanya kepada mahkamah tetapi yang penting kepada orang awam selaku pembida, institusi kewangan selaku plaintif dan pemilik hartanah dilelong selaku defendan.

"Selain itu, sistem e-Lelong ini akan menggalakkan penambahan jumlah pembida yang menyertai sesi lelong awam secara atas talian dan mampu meningkatkan peluang orang awam memiliki aset tetap khususnya rumah kediaman pada nilai sebenar tanpa manipulasi harga.

"Keistimewaannya juga adalah identiti pembida dirahsiakan membolehkan bidaan dibuat tanpa tekanan dan gangguan serta meningkatkan ketelusan dan integriti proses lelong awam.

"Keseluruhannya ketelusan proses kerja elektronik memberi manfaat berbanding manual, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan projek perintis sistem e-Lelong bagi kes lelong awam harta tak alih di Mahkamah Tinggi Malaya, di Kompleks Mahkamah Kuantan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

28 dibaca
Berita Harian X