Isnin, 31 Julai 2017 | 4:10pm

APMM terima KM Bagan Datuk secara rasmi

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima Kapal KM Bagan Datuk secara rasmi hari ini.

Sebelum ini, kapal pertama yang dibina syarikat tempatan itu, dilancar dan dinamakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 15 Mac lalu.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata, kapal sepanjang 45 meter itu sudah diuji bagi memastikan keupayaan dan kemampuan setiap peralatan mencapai tahap terbaik dan mengikut piawaian dikehendaki.

"Antara ujiannya seperti penembakan meriam 30 mm Aselsan di sekitar perairan Lumut; penerbangan pesawat tanpa pemandu (UAV) serta pelayaran pergi balik ke Langkawi bagi menyertai LIMA 17, Mac lalu.

"Kapal ini bakal ditempatkan di Daerah Maritim Klang (DM4) dan beroperasi di sekitar perairan Selat Melaka.

"KM Bagan Datuk adalah yang pertama daripada enam dibina Destination Marine Services Sdn Bhd (DMS), manakala lima lagi akan dibina secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei 2018," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis serah terima Kapal KM Bagan Datuk di antara DMS yang diwakili Datuk Rozabil Abdul Rahman dengan APMM yang diwakili beliau, di sini.

Zulkifli berkata, pembinaan enam buah kapal ronda generasi baharu (NGPC) APMM itu bagi menggantikan 15 kapal kelas SIPADAN yang diterima oleh APMM daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seawal penubuhan agensi itu.

"Ini kapal pertama dilengkapkan dengan sistem UAV Fulmar dari model Thales yang mana kru kapal boleh membuat pengawasan udara dari dicerobohi sejauh 80 batu nautika secara kawalan jarak jauh selama lapan jam.

"UAV Fulmar ini diintergrasikan dengan Sistem Pengenalan Automatik (AIS) dan mampu menggalas tugas kapal seperti operasi pencegahan, perlanunan, anti penyeludupan, kawalan aktiviti perikanan dan pengawasan persempadanan.

"Ia juga dilengkapi peralatan pencegahan tumpahan minyak yang mengandungi 120 meter penghalang minyak, 'skimmer' mudahalih dan tangki bantal (pillow tank) bagi kawalan tumpahan minyak berskala kecil," katanya.

Beliau berkata, KM Bagan Datuk juga mempunyai keupayaan dari segi peralatan pendorongan (propulsion) dengan pemilihan enjin MTU terkini iaitu model 12V 400 M73, malah boleh meluncur dengan kelajuan 24 knot.

"Ia boleh bergerak sejauh 2,000 batu nautika dengan 41 keanggotaan yang berpengalaman dan berkemahiran, menempatkan seramai lima pegawai dan 22 anggota pada satu-satu masa," katanya.

90 dibaca
CEO DESTINI Shipbuilding, Alastair Bisset (tiga kanan) memberikan penerangan kepada Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Indera Zulkifli Abu Bakar (dua kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Destini Berhad, Datuk Rozabil Abdul Rahman (empat kanan) dihadapan Kapal KM Bagan Datuk sempena Majlis Penyerahan Kapal KM Bagan Datuk di Destini, Port Klang.- Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Berita Harian X