Selasa, 1 Ogos 2017 | 8:14pm
DATUK Seri Jamil Khir Baharom.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DATUK Seri Jamil Khir Baharom.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor

JAKIM lulus 3,396 sijil halal dalam 6 bulan

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerima 4,435 permohonan sijil halal bagi tempoh antara Januari hingga Jun tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,396 atau 76.57 peratus permohonan sijil halal diluluskan.

"Tahniah JAKIM kerana sentiasa menambah baik perkhidmatan menerusi pelbagai inisiatif, termasuk mewujudkan program 'laluan ekspres halal'.

"Usaha ini sejajar dengan peredaran semasa yang menyaksikan peningkatan jumlah permohonan sijil halal dalam sektor perniagaan di Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir menyampaikan sijil halal produk dijual atas kaunter (OTC) keluaran Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) yang diperbaharui JAKIM kepada Pengerusi CCM, Datuk Normala Abdul Samad.

Kelulusan permohonan itu diperoleh beberapa hari selepas CCM memfailkan pembaharuan sijil halal untuk produk OTC keluaran syarikat berkenaan, sekali gus melonjak keyakinan peniaga terhadap inisiatif JAKIM dalam menambah baik sistem perkhidmatan sedia ada.

Jamil Khir turut memuji kerjasama JAKIM dan CCM pada 2013 lalu dalam mewujudkan standard farmaseutikal halal, MS2424:2012 yang pertama seumpamanya di Malaysia.

"Sijil yang diperbaharui ini wajar menjadi pemangkin dalam pengeluaran produk farmaseutikal halal di peringkat domestik dan global.

"Ia diharap meningkatkan pembabitan pengeluar di seluruh dunia dan agensi perakuan halal yang berkaitan supaya produk mereka bersifat patuh syariah, sekali gus menyediakan pilihan lebih baik kepada masyarakat Muslim dan penganut agama lain," katanya.

Sementara itu, Normala berkata, standard halal sewajarnya menjadi intipati pengeluaran produk farmaseutikal dan penjagaan kesihatan, iaitu menerusi gabungan antara syariah serta sains.

Katanya, Malaysia berupaya menerajui usaha berkenaan susulan kejayaan mewujudkan standard farmaseutikal halal pertama di dunia.

"Sijil diperoleh CCM ini adalah bukti komitmen syarikat ke arah matlamat untuk menjadi peneraju industri farmaseutikal halal di Malaysia dan di peringkat dunia," katanya.

Berita Harian X