Rabu, 2 Ogos 2017 | 12:02am
TIMBA air lama. - Foto Iqmal Haqim Rosman
SENJATA api antik yang menjadi antara koleksi dimiliki Wan Ahmad. - Foto Iqmal Haqim Rosman
PELITA antik. - Foto Iqmal Haqim Rosman
HASIL seni tekstil. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Guna tiga rumah simpan 'harta karun'

SEREMBAN: Walaupun arwah ibunya pernah melarang supaya tidak menyimpan barang tidak diperlukan, minat tidak menghalang Wan Ahmad Arshad untuk berbuat demikian sehingga kini.

Purbawan berusia 51 tahun itu berkata, dia mula menunjukkan minat mengumpul pelbagai barangan bernilai sentimental sejak berusia 10 tahun dan barangan pertama dikumpul adalah pelbagai tiket bas.

Bagaimanapun, katanya, arwah ibunya terus membuang semua koleksinya kerana mendapati dia menyimpan terlalu banyak dan beranggapan tiket itu sebagai sampah.

"Tindakan arwah ibu itu tidak mematahkan semangat saya, sebaliknya terus mengumpul pelbagai barangan seperti botol kaca dan tin minyak rambut yang kini masih elok disimpan di rumah di Perak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tasik Jaya, Senawang, dekat sini.

Bapa tiga anak itu berkata, sebaik tamat pengajian, dia semakin berminat mengumpul barangan antik terutama ketika bekerja di bidang perhotelan yang memerlukannya banyak merantau.

WAN Ahmad menunjukkan alat memerah santan tradisional yang diperbuat daripada kayu cengal berusia 200 tahun. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, sejak itu dia mula mengumpul pelbagai barangan yang mudah diperoleh seperti pedang, seterika arang, barangan hiasan seperti lampu, lukisan, wang lama, manuskrip dan buku lama.

"Bagaimanapun, 15 tahun lalu, selepas melihat koleksi barangan antik terlalu banyak, saya nekad berhenti kerja dan menumpukan sepenuhnya kepada minat mengumpul, seterusnya menjual barangan antik.

"Dek terlalu banyak barangan koleksi, semua barangan antik berkenaan disimpan dengan baik di dua rumah di Senawang dan satu rumah lagi di Bagan Serai, Perak," katanya.

Wan Ahmad mengakui perniagaan menjual barangan antik bukan semudah disangka, kerana keuntungan tidak menentu, selain perlu penjagaan rapi untuk memelihara dan memulihara barangan lama.  

Namun, katanya, minat tidak menghalangnya bergiat aktif, malah sanggup ke mana saja untuk mendapatkan barangan diingini.

WAN Ahmad bersama sebahagian daripada koleksi buku yang dikumpulkannya. - Foto Iqmal Haqim Rosman

PELITA antik yang turut berada dalam koleksi Wan Ahmad. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Apabila ada maklumat mengenai barangan antik, saya akan pergi melihatnya sebelum membuat rundingan bagi mendapatkan harga sesuai. Saya sudah ke seluruh negara untuk mendapatkan pelbagai barangan," katanya.

Wan Ahmad berkata, menyedari ketika ini semakin ramai mengumpul barangan antik, dia membuat kelainan dengan mencari barangan antik yang unik, sukar ditemui dan ada lambang kebijaksanaan Melayu lama.

Katanya, barangan unik yang kini dalam koleksinya termasuk duit tampang timah, kain perhiasan berusia lebih 200 tahun, pemerah santan daripada kayu cengal berusia 200 tahun, alat pembuat laksa dan timba tembaga serta lampu daripada besi lama.

"Barangan ini sukar ditemui dan mempunyai nilai tersendiri. Selain untuk pameran, saya juga memberi peluang penyelidik, pensyarah atau pelajar menjalankan kajian barangan buatan orang Melayu lama itu," katanya.

Datuk kepada dua cucu itu berkata, hampir setiap hari ada tetamu datang ke rumahnya untuk mendapatkan khidmat perunding mengenai barangan lama miliknya.

WAN Ahmad menunjukkan koleksi kitab jawi antik. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Selain itu, katanya, dia juga akan bekerjasama dengan Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Arkib Negara, Perpustakaan Negara dan universiti awam (UA) untuk mengadakan pameran.

"Walaupun berdepan pelbagai halangan seperti pemilik enggan menjual koleksi mereka atau harga terlalu mahal, memiliki barangan antik ini memberi kepuasan kepada saya," katanya.

Beliau berkata, kemajuan teknologi maklumat sekarang memudahkannya mencari koleksi barangan antik unik.

"Kebanyakan barangan unik milik bangsawan dulu sukar diperoleh, tetapi saya berusaha mendapatkannya terutama peralatan dapur sebagai bukti orang Melayu dulu kreatif mencipta barangan," katanya.

INFO

  • 41 tahun kumpul barang antik
  • Nilai barangan antik bermula RM5 sehingga RM300,000
  • Jumlah koleksi buku unik dan yang sudah tidak dicetak melebihi 10,000 naskhah.

Berita Harian X