Isnin, 7 Ogos 2017 | 8:16pm
WAN Junaidi (tengah) meletakkan replika karang pada perasmian Program Pengiktirafan MBR penanaman anak terumbu karang, di Pulau Redang, hari ini. - Foto Ghazali Kori
WAN Junaidi (tengah) meletakkan replika karang pada perasmian Program Pengiktirafan MBR penanaman anak terumbu karang, di Pulau Redang, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Program tanam anak terumbu karang tersenarai MBR

PULAU REDANG: Program restorasi karang yang diadakan di enam pusat Taman Laut tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR), selepas berjaya dilekatkan pada struktur kerangka polivinil klorida (PVC) sebanyak 8,300 melebihi sasaran 7,200 ditetapkan.

Penanaman anak terumbu karang yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-10 Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) itu hanya menyasarkan dapat ditanam sebanyak 7,200 di enam kawasan taman laut.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata sebanyak 1,800 anak terumbu karang dilekatkan di perairan taman laut Pulau Redang, Pulau Perhentian, Besut (2,400), Pulau Tioman, Pahang (1,200), Pulau Payar, Kedah (900).

Katanya, sebanyak 600 anak terumbu karang dilekatkan di kawasan taman laut Wilayah Persekutuan Labuan dan sebanyak 1,400 di taman laut Pulau Tinggi yang dilekatkan sendiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

"Program restorasi karang adalah konservasi JTLM untuk menjana semula kawasan yang dikesan mengalami kerosakan.

"Sehingga akhir Disember 2015, sebanyak 32,498 anak terumbu karang ditanam melalui program restorasi karang di kawasan membabitkan keluasan seluas 2.7 hektar dalam perairan taman laut," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pengiktirafan MBR penanaman anak terumbu karang, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, wakil MBR, Lee Pooi Leng mengisytiharkan program penanaman anak terumbu karang yang diadakan di enam kawasan perairan taman laut hari ini tersenarai dalam MBR.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pengarah JTLM, Datuk Seri Sukarno Wagiman dan Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar), Datuk Dr Azimuddin Bahari.

Berita Harian X