Isnin, 14 Ogos 2017 | 9:45pm
Menteri Pembanguan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Hukuman 2 kali ganda menanti pesalah

KUALA LUMPUR: Susulan komitmen dan sokongan pelbagai pihak, Rang Undang-Undang (RUU) Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 diluluskan di Dewan Negara, hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata pihaknya akan menguatkuasakan akta berkenaan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhamad V.

"Peruntukan ini bagi mempertingkatkan perlindungan terhadap mangsa dan membantu memulihkan institusi kekeluargaan di Malaysia.

"Pindaan terhadap RUU ini tepat pada masanya berikutan kes keganasan rumah tangga di Malaysia yang semakin meningkat.

"Kita juga berharap lebih ramai mangsa tampil untuk mendapatkan perlindungan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rohani berkata, lima perkara utama yang diberi perhatian dalam RUU berkenaan adalah memperluaskan tafsiran keganasan rumah tangga, Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), pemberian hak penghunian eksklusif kediaman bersama kepada mangsa dan memperkenalkan program pemulihan kelolaan kementerian.

Katanya, penambahbaikan Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO) turut dilaksanakan bagi menjamin sistem penguatkuasaan undang-undang yang menyeluruh.

"Selain itu, RUU akan dibaca bersama dengan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan), yang memperluaskan pemakaian Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

"Langkah menguatkuasakan undang-undang ini akan memperuntukkan hukuman penjara mandatori dua kali ganda kepada pesalah keganasan rumah tangga terhadap bekas suami, isteri, kanak-kanak dan ahli keluarga.

"Pelaksanaan akta ini diharap berupaya memberi keyakinan kepada mangsa keganasan rumah tangga untuk tampil mendapatkan perlindungan," katanya.

Berita Harian X