Rabu, 16 Ogos 2017 | 12:00am
SEORANG penyelam sukarelawan menanam anak karang. - Foto Taman Laut Diver
SEORANG penyelam sukarelawan menanam anak karang. - Foto Taman Laut Diver
SEBAHAGIAN penyelam sukarelawan menunjukkan sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Records bagi program restorasi anak karang, baru-baru ini. - Foto Ghazali Kori
SEBAHAGIAN penyelam sukarelawan menunjukkan sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Records bagi program restorasi anak karang, baru-baru ini. - Foto Ghazali Kori
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) bersama isteri, Datin Seri Fiona Wan Junaidi (dua dari kiri) meletakkan replika karang sebagai gimik perasmian program restorasi karang yang dijalankan serentak di enam pusat taman laut di seluruh negara. - Foto Ghazali Kori

Pulihara karang elak pupus

PULAU REDANG: Terdapat lebih 1,394 spesies ikan karang dan 405 batu karang di perairan negara, namun empat spesies karang dikenal pasti sebagai sensitif dan perlu dipulihara.

Empat jenis terumbu karang berkenaan adalah daripada jenis acropora, montipora, millepora dan porites.

Ia sudah diwartakan kerajaan sebagai khazanah negara yang perlu dipelihara dan dipulihara supaya tidak pupus.

RESTORASI atau penanaman anak terumbu karang bertujuan memastikan khazanah marin negara terus terpelihara. - Foto Taman Laut Diver
RESTORASI atau penanaman anak terumbu karang bertujuan memastikan khazanah marin negara terus terpelihara. - Foto Taman Laut Diver

Terumbu karang itu bukan sahaja dianggap paling cantik oleh penyelam kerana berwarna-warni, malah paling digemari hidupan laut untuk pembiakan.

Bagi memastikan khazanah marin ini terus terpelihara, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menerusi Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) mengadakan program restorasi atau penanaman anak terumbu karang di enam pusat taman laut di seluruh negara.

Program sempena sambutan 10 tahun penubuhan JTLM dan Hari Laut Sedunia 2017 itu diadakan serentak di Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu; Pulau Tioman, Pahang; Pulau Payar, Kedah; Pulau Tinggi di Johor dan di kawasan taman laut Wilayah Persekutuan Labuan.

MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) bersama isteri, Datin Seri Fiona Wan Junaidi (dua kanan) menerima sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records daripada wakilnya, Lee Pooi Leng (hujung kiri) sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Alam Sekitar, Datuk Sr Azimuddin Sahari (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia, Datuk Dr Sukarno Wagiman (kanan). - Foto Ghazali Kori

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bersetuju program restorasi karang diteruskan dan tumpuan penanaman adalah di kawasan yang mengalami kemerosotan dengan kaedah 'manta tow' di 512 tapak.

"Menerusi program restorasi ini, jangkaan sebanyak 7,200 anak terumbu karang dilekatkan pada struktur kerangka polivinil klorida (PVC), bagaimanapun melebihi sasaran sebanyak 8,300 dan tersenarai dalam Malaysia Book Of Records (MBR)," katanya.

Projek pertama dilakukan JTLM bermula pada 2011 dengan tapak nurseri pertama dilaksanakan di Kampung Tekek, perairan Pulau Tioman, Pahang membabitkan kawasan pembenihan seluas kira-kira 2.7 hektar.

SEBAHAGIAN penyelam yang terbabit dalam proses menanam anak terumbu karang di Pusat Taman Laut Pulau Redang. - Foto Taman Laut Diver
SEBAHAGIAN penyelam yang terbabit dalam proses menanam anak terumbu karang di Pusat Taman Laut Pulau Redang. - Foto Taman Laut Diver

Sehingga kini, sebanyak 42 pulau dengan keluasan perairan kira-kira 2,486.13 kilometer (km) diwartakan sebagai taman laut.

Pewartaan itu bertujuan mewujudkan ekosistem seimbang untuk meningkatkan produktiviti berasaskan perikanan, selain membantu industri ekopelancongan bagi menjana ekonomi negara.

Wan Junaidi berkata, usaha pemuliharaan ekosistem marin taman laut akan terus diperkasakan dan dilaksanakan secara berterusan supaya khazanah marin dikekalkan.

SEBANYAK 8,300 anak terumbu karang berjaya ditanam menerusi program restorasi yang dijalankan di enam pusat taman laut di seluruh negara, baru-baru ini. - Foto Taman Laut Diver
SEBANYAK 8,300 anak terumbu karang berjaya ditanam menerusi program restorasi yang dijalankan di enam pusat taman laut di seluruh negara, baru-baru ini. - Foto Taman Laut Diver

"Setakat ini, sebanyak 32,498 struktur kerangka PVC dipasang untuk projek melekatkan anak terumbu karang dan hasil pemantauan JTLM mendapati projek percubaan itu berkesan apabila anak terumbu karang berkenaan semakin subur," katanya.

Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah dari 12 negara di dunia yang tersenarai sebagai negara dengan kepelbagaian biologi mega.

Malaysia kaya dengan kepelbagaian biologi, malah di kelilingi kawasan perairan yang kaya dengan sumber marin.

Bagaimanapun, katanya, pelbagai tekanan dan isu seperti perubahan iklim dan pencemaran disebabkan kerangkusan manusia yang dianggap tidak menyayangi alam sekitar, menjejaskan usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi marin.

SERAMAI 200 orang penyelam dari seluruh negara terbabit dalam program restorasi karang, yang turut tercatat dalam MBOR sebagai program penananam anak karang terbesar. - Foto Taman Laut Diver
SERAMAI 200 orang penyelam dari seluruh negara terbabit dalam program restorasi karang, yang turut tercatat dalam MBOR sebagai program penananam anak karang terbesar. - Foto Taman Laut Diver

Katanya, pembabitan JTLM dalam Inisiatif Segitiga Terumbu Karang atau Coral Triangle Initiative (CTI) bermula sejak tahun 2009, manakala International Coral Reef Initiative (ICRI sejak 2015.

"Pembabitan JTLM dalam organisasi di peringkat antarabangsa secara tidak langsung membantu usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah marin.

"Kawasan CTI membabitkan perairan enam negara, termasuk Malaysia. Ia membabitkan perairan seluas kira-kira lima juta km persegi dan didiami 605 spesies terumbu karang serta kawasan habitat kepada 2,228 spesies ikan terumbu karang," katanya.

Menerusi JTLM juga, kerajaan dapat memainkan peranan utama untuk melindungi kawasan terumbu karang terutamanya di lokasi perlindungan marin supaya terumbu karang di negara ini tidak mengalami kepupusan.

Berita Harian X