Rabu, 16 Ogos 2017 | 6:42pm
PENGASAS Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub (enam dari kanan) bersama Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Azman Ujang (enam kiri) serta tetamu jemputan memegang pelekat MERDEKA #Quranhour pada sidang media tea talk #Quran Hour Interaksi surah yasin dan Kemerdekaan di Wisma Bernama. - Foto Zulfadhli Zulkifli

World #QuranHour ajak kembali kepada al-Quran

KUALA LUMPUR: Program World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour bertujuan mengembalikan umat Islam kepada penghayatan dan pembudayaan al-Quran, sekali gus mengisi makna sambutan kemerdekaan tanah air.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, berkata ia adalah inisiatif penting yang perlu digerakkan bagi memastikan kedaulatan agama, bangsa dan negara terus terpelihara.

Hussamuddin berkata, bagi melahirkan masyarakat yang bukan saja membaca, bahkan memahami Al-Quran, acara World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour pada 31 Ogos ini menampilkan sesi tadabur atau interaksi kitab suci itu dengan kupasan surah Yasin.

"Kedua-dua program ini ialah pengisian berbentuk kerohanian yang akan mengisi sambutan kemerdekaan negara yang ke-60.

"Selepas 60 tahun negara merdeka, sambutannya hambar dan rakyat pula menunjukkan reaksi biasa, seolah-olah ia tidak penting bagi mereka.

"Gerakan #QuranHour muncul sebagai penyelesaian kepada permasalahan ini kerana kita mahu umat Islam kembali kepada agama kerana segala-galanya tercatat dalam Al-Quran termasuk menghargai kemerdekaan yang kita kecapi hari ini," katanya pada program Tea Talk Quran Hour: Interaksi Surah Yasin dan Kemerdekaan di Wisma BERNAMA di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Azman Ujang; Ahli Lembaga Pengarah, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Fahmee Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff.

Hussamuddin berkata, agama sepatutnya menjadi medium bagi memperkasa ummah dan tidak dipolitikkan untuk kepentingan pihak tertentu.

"Justeru, menerusi kempen kesedaran #QuranHour, ia diharap dapat menggalakkan umat Islam kembali kepada asas agama menerusi pembacaan dan memahami terjemahan Al-Quran," katanya.

Sementara itu, Fazrul Fahmee berkata, banyak mesej tersirat mengenai kemerdekaan yang terdapat dalam surah Yasin.

"Dalam surah Yasin, Allah SWT memberi banyak peringatan, antaranya supaya kita tidak menjadi orang yang lalai.

"Ia bukan saja perkara yang dibenci Allah SWT, bahkan boleh mendorong kepada berlakunya banyak musibah termasuk dalam konteks negara yang mungkin akan kembali terjajah sekiranya kita terus leka untuk mempertahankan kemerdekaan," katanya.

Pada 31 Ogos ini, tiga acara bakal berlangsung, iaitu World #QuranHour bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak, jam 11.30 pagi.

Ia disusuli program Gema Wahyu dan Gema Takbir pada jam 5 petang di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad serta diikuti Merdeka #QuranHour mulai jam 8 malam di Dataran Merdeka.

Berita Harian X