Jumaat, 18 Ogos 2017 | 4:32pm
KAKITANGAN PRASARANA, Anuar Yusoff (kanan) bersama Rosli Endut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berlepas ke Makkah hari ini. - Foto ihsan PRASARANA

Kumpulan terakhir staf PRASARANA berlepas ke Makkah

KUALA LUMPUR: Kumpulan terakhir staf Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) seramai 53 orang berlepas ke Makkah hari ini untuk membantu operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) bagi kemudahan jemaah menunaikan haji di tanah suci.

PRASARANA menerusi satu kenyataan, memaklumkan sebahagian besar daripada mereka akan bertugas sebagai Pasukan Bertindak Cepat (RRT) yang ditempatkan di beberapa lokasi sepanjang jajaran 18.1 kilometer (km) dari Arafah ke Jamrah.

Secara keseluruhannya, kira-kira 500 rakyat Malaysia akan bertugas dalam operasi MMMSL yang membabitkan 17,000 tenaga pekerja termasuk daripada pasukan keselamatan Arab Saudi.

"Beroperasi selama tujuh hari khusus untuk musim haji, MMMSL digunakan oleh kira-kira 350,000 jemaah dari negara Asia Barat dan Asia Selatan termasuk India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, kakitangan PRASARANA, Anuar Yusoff, 52 , yang bertugas sebagai juruteknik LRT Laluan Kelana Jaya, bersyukur kerana dipilih menjalankan tugas di Makkah sempena musim haji tahun ini.

"Ini kali pertama saya menjejak kaki di Tanah Suci. Saya akan bekerja dengan pasukan RRT dan sudah dimaklumkan secara umum mengenai apa yang perlu dilakukan di MMMSL dan juga cabaran yang bakal dihadapi. 

"Tentunya bekerja dengan pasukan RRT, cabarannya lebih tinggi kerana perlu memastikan apa juga kes kecemasan dan gangguan jika ada ada, perlu diselesaikan dengan cepat. Harapan (penumpang) di sana adalah jauh lebih tinggi daripada apa yang hadapi di Malaysia," katanya.

Staf PRASARANA, Mohd Rosli Endut, 55, yang juga bertugas dengan pengurusan rangkaian trek di LRT Laluan Kelana Jaya, turut bersyukur kerana diberi peluang berkhidmat di Makkah.

"Ini kira rahmat besar buat saya. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana memberi saya peluang ini.  Ini adalah ibadat yang amat besar kerana kita membantu jemaah menunaikan ibadat haji," katanya.

113 dibaca
Berita Harian X