Sabtu, 19 Ogos 2017 | 11:45am
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan kad simbolik gimik pelancaran Karnival Digital Langkawi 2017 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Padang Matsirat. - Foto NSTP/Amran Hamid

Perdana Menteri lancar Digital Langkawi

LANGKAWI: Datuk Seri Najib Razak, hari ini melancarkan Digital Langkawi, inisiatif yang membabitkan pelbagai limpahan pembangunan yang dilaksanakan menerusi lima kluster.

Inisiatif dengan sasaran membangunkan pulau pelancongan ini sebagai hab digital Malaysia, disempurnakan Perdana Menteri sempena Karnival Digital Langkawi yang berlangsung di Mahsuri Hall dengan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor, berkata lima kluster itu membabitkan Ekonomi Pintar, Pelancongan Pintar, Komuniti Pintar, Persekitaran Pintar dan Keselamatan Pintar.

"Inisiatif Digital Langkawi adalah persediaan kita berhadapan revolusi digital, yang bukan sekadar mengukuhkan kebolehsaingan yang mana segenap kehidupan kini dipacu alam digital dari segi kehidupan seharian, pembelajaran dan pekerjaan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan perwakilan sewaktu hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Langkawi di MIEC Langkawi. - Foto NSTP/Shahrizal Md Noor

"Langkawi akan mengambil kesempatan dengan ekonomi perkongsian dan digital kini. Melalui peruntukan RM200 juta yang diterima, pencapaian di bawah pembangunan ini termasuk penaiktarafan dua kabel dasar laut, pembinaan 10 menara telekomunikasi baharu dan perhubungan 47 menara telekomunikasi melalui kabel gentian fiber sepanjang 152 kilometer (km) di seluruh Langkawi.

"Semua kemudahan itu sudah dipasang bertujuan meningkatkan kelajuan dan liputan selain penyediaan liputan rangkaian 4G LTE dan kini Pulau Langkawi 99 peratus menerima liputan 2G dan 95 peratus liputan 3G," katanya ketika berucap di majlis itu.

Nor Sabrina berkata, bajet sama turut membabitkan penambahbaikan dua ibu sawat Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) dan sebuah ibu sawat Jalur Lebar Pinggir Bandar oleh Telekom Malaysia bagi perkhidmatan HSBB iaitu perkhidmatan unifi, termasuk pembangunan empat Pusat Internet 1Malaysia (PI1M), yang menawarkan perkhidmatan sebagai digital centre, eRezeki dan eUsahawan, termasuk bagi semua penduduk Pulau Tuba.

Berhubung inisiatif menjadikan Langkawi sebagai hab digital Malaysia, Nor Sabrina berkata, pelbagai inisiatif dibangunkan dan memberi manfaat kepada komuniti di Langkawi seperti pembangunan aplikasi pelancongan (Mycribbooking) untuk kegunaan komuniti Langkawi, aplikasi pemantauan keselamatan, aplikasi keusahawanan, Augmented Reality (AR) dan pelbagai pengunaan platform teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam sektor pelancongan.

"Saya ingin menyaran agar pengusaha hotel di Langkawi membantu usaha Digital Langkawi ini dengan memastikan sistem wi-fi di premis masing-masing sentiasa dalam keadaan stabil dan terbaik, demi kemudahan pelancong dan pelanggan mereka melalui perkhidmatan Internet yang disediakan.

"Bagaimanapun, segala infra telekomunikasi dan jalur lebar yang serba lengkap ini memerlukan kandungannya dibangunkan bersama komuniti dan inilah hadiah terbaik daripada kerajaan kepada seluruh rakyat Langkawi," katanya.

15 dibaca
Berita Harian X