Selasa, 22 Ogos 2017 | 12:24pm
DATUK Seri Nancy Shukri (kanan) ketika melawat pameran MRT Corp selepas merasmikan Seminar Cabaran Dalam Membina Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang, sebentar tadi. - Foto Rosela Ismail
DATUK Seri Nancy Shukri (kanan) ketika melawat pameran MRT Corp selepas merasmikan Seminar Cabaran Dalam Membina Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang, sebentar tadi. - Foto Rosela Ismail

Sasaran 60 peratus pelajar STEM belum tercapai

PETALING JAYA: Lebih ramai pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) diperlukan bagi membantu pembangunan negara dalam bidang teknologi termasuk untuk sistem pengangkutan awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata hasrat kerajaan untuk menambah bilangan pelajar aliran Sains sebanyak 60 peratus ketika ini masih belum kesampaian apabila pelajar aliran seni lebih ramai.

Katanya, situasi itu jika berterusan tidak akan banyak membantu kepada pembangunan negara dalam bidang teknologi termasuk pengangkutan awam seperti projek transit rel.

"Program berkaitan kejuruteraan, sains dan matematik adalah penting untuk membantu kita ke arah membina sistem pengangkutan awam yang cekap dan berkesan.

"Kerana itu kita memerlukan lebih ramai pelajar dalam bidang STEM bagi memacu pembangunan pengangkutan awam negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Cabaran Dalam Membina Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang di sini, sebentar tadi.

Seminar anjuran Gabungan Jurutera Perunding Bumiputera Malaysia dan MRT Corporation Sdn Bhd yang dihadiri 300 peserta dari pelbagai organisasi berkaitan industri rel itu bertujuan berkongsi masalah dan cabaran dihadapi sewaktu menyiapkan pembinaan MRT SBK.

Terdahulu, di dalam ucaptamanya, Nancy berkata kejayaan pembinaan Aliran Transit Massa laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) diharapkan dapat memacu syarikat tempatan yang terbabit dengan projek transit rel untuk mencapai standard antarabangsa.

Beliau berkata syarikat itu juga diharapkan mampu membangunkan sistem transit secara sendiri tanpa perlu bergantung dengan syarikat antarabangsa.

"Saya dimaklumkan bahawa semua 10 kontraktor pakej utama yang terbabit dalam pembinaan projek MRT SBK semuanya adalah anak tempatan.

"Bagi kerja-kerja sistem, saya percaya kontraktor dan pembekal tempatan telah mendapat pengalaman berharga dalam menyepadukan kepakaran mereka dengan syarikat antarabangsa.

"Maka sehubungan itu adalah diharapkan projek ini (MRT) akan membantu syarikat tempatan untuk mengeksport kemahiran dan keupayaan mereka pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X