Jumaat, 25 Ogos 2017 | 9:36pm
Presiden PERDASAMA, Datuk Moehamad Izat Emir. - Foto Shawal Azani
Presiden PERDASAMA, Datuk Moehamad Izat Emir. - Foto Shawal Azani

PERDASAMA syor 5 langkah bantu usahawan Melayu, Bumiputera

KUALA LUMPUR: Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) mencadangkan lima langkah dilaksanakan supaya usahawan Melayu dan Bumiputera boleh bersaing memasarkan produk sehingga peringkat global.

Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir, berkata MARA disyor bekerjasama membantu usahawan mengembangkan perniagaan dan mewujudkan jaringan perniagaan seperti di pasar raya besar.

Langkah kedua, katanya, usahawan diwajibkan mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai inisiatif meningkatkan kemajuan diri ke peringkat lebih tinggi, bukan sekadar berniaga untuk 'cari makan'.

Beliau berkata, langkah ketiga ialah pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta menyediakan lokasi strategik dan tapak khas untuk usahawan 'food truck' dan jualan 'car boot' di setiap negeri.

"Ini bagi membolehkan peniaga mengembangkan perniagaan, bukan sekadar menjaja di tepi jalan.

"Keempat, PBT dan agensi berkaitan digesa mencari kaedah untuk menyelesaikan isu permohonan lesen perniagaan yang tertangguh dan lambat diproses. Isu lesen antara masalah besar dihadapi peniaga Bumiputera.

"Masalah lain ialah kekangan mendapatkan modal pusingan selama enam bulan serta modal membeli peralatan," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Moehamad Izat berkata, langkah kelima adalah pemaju hartanah disaran mempertimbangkan pemilikan bangunan secara sewa beli dan memperuntukkan sebahagian daripada projek bandar baharu untuk peniaga Bumiputera.

"Ia selaras dasar 30 peratus kuota bangunan untuk Bumiputera seperti yang pernah diamalkan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PERDASAMA bersetuju dengan cadangan MARA membantu usahawan khususnya Bumiputera meningkatkan penyertaan dalam industri perdagangan makanan halal menerusi konsep 'Treler Food Cart', mulai 2018.

"'Food truck' antara usaha dan langkah terbaru meningkatkan taraf pengedaran makanan di seluruh negara. Kebanyakan peniaga khususnya Melayu dan Bumiputera ada produk untuk dijual, tapi tak mampu miliki premis perniagaan.

"'Food truck' adalah satu konsep dan budaya perniagaan baharu yang berpotensi berkembang besar-besaran kerana bersifat 'mobiliti'.

"Ia tidak terhad kepada satu bentuk perniagaan fizikal seperti menjual makanan sahaja, tetapi pada masa sama menjual melalui platform dalam talian. Konsep ini juga jalan keluar untuk graduan menganggur jadi usahawan," katanya.

Moehamad Izat berkata, usahawan Melayu dan Bumiputera mempunyai potensi untuk maju seperti peniaga bangsa lain sekiranya diberi peluang dan ruang mengembangkan perniagaan mereka.

"Misalnya, ada banyak barangan daripada usahawan dan pembekal tempatan dipamerkan pada 'Halfest 2017', anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

"Ia menunjukkan kebolehan pedagang, pengusaha Melayu dan Bumiputera dalam mempelbagaikan pengeluaran makanan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X