Isnin, 28 Ogos 2017 | 1:56pm
KETUA Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha bersama Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) Datuk Hussamuddin Yaacub menunjukkan poster Merdeka QuranHour selepas sidang media di Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Merdeka #QuranHour, peluang fahami al-Quran

PUTRAJAYA: Program Merdeka #QuranHour yang julung kali diadakan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini memberi makna yang sangat besar kepada seluruh rakyat Malaysia terutama umat Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha, berkata program yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat itu bertujuan memberi persepsi yang betul mengenai amalan membaca al-Quran selain memahami dan menghayati kitab suci itu.

Beliau berkata, seluruh rakyat beragama Islam, terutama yang berada di Lembah Klang, patut mengambil kesempatan itu untuk menghadiri program Merdeka #QuranHour.

"Kita juga minta supaya masjid di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur menghantar wakil dari qariah masing-masing untuk menyertai dan mengimarahkan lagi Merdeka #QuranHour.

"Ini peluang keemasan untuk mendekatkan hati kepada al-Quran dan membudayakan al-Quran," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.

Merdeka #QuranHour menyusuli kejayaan program Malaysia #QuranHour yang diadakan pada 19 Jun lalu.

Sementara itu, penganjur World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour merangkap pengasas Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Husamuddin Yaacob, berkata masyarakat bukan Islam juga digalakkan menghadiri program terbabit kerana tumpuan akan diberikan kepada terjemahan ayat suci al-Quran.

Katanya, masyarakat bukan Islam boleh menghayati maksud di sebalik bacaan ayat daripada kitab suci itu, selain dapat mengubah persepsi mereka terhadap Islam dan ajarannya yang sebenar.

"Contohnya jika selama ini mereka hanya fikir yang surah Yasin itu hanyalah amalan bacaan pada setiap Khamis malam Jumaat, pada program itu nanti mereka akan dapat memahami apa isi kandungan sebenar surah Yasin itu," katanya.

Pada 31 Ogos ini, kempen #QuranHour akan dimulakan dengan program World #QuranHour di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada jam 10.30 pagi.

Ini diikuti program Gema Wahyu di Masjid Jamek pada jam 4 petang sebelum berpindah ke Dataran Merdeka untuk program Merdeka #QuranHour yang dijangka bermula pada jam 8.30 malam.

Berita Harian X