Selasa, 29 Ogos 2017 | 1:01pm
PRESIDEN UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamyl, Ketua Fusion Lab, Muzik di Bahagian Pendidikan Khas Jabatan Muzik, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Indra V Selvarajah, Presiden PEKA Malaysia, Puan Seri To 'Puan Datuk Shariffa Sabrina Syed Akil dan Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama semasa Taklimat Media Klasik Toyota di Hilton Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim
PRESIDEN UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamyl, Ketua Fusion Lab, Muzik di Bahagian Pendidikan Khas Jabatan Muzik, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Indra V Selvarajah, Presiden PEKA Malaysia, Puan Seri To 'Puan Datuk Shariffa Sabrina Syed Akil dan Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama semasa Taklimat Media Klasik Toyota di Hilton Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim

Orkestra Diraja UK gegarkan Toyota Classics 2017

KUALA LUMPUR: Orkestra Konsert Diraja United Kingdom bakal menampilkan persembahan pada konsert tahunan Toyota Klasik, dijadual berkumandang di Dewan Filharmonik PETRONAS, KLCC pada 31 Oktober ini.

Siri konsert klasikal yang dibawa oleh UMW Toyota Motor dan Toyota Motor Asia Pacific itu menemui peminatnya sejak 1990.

Kumpulan orkestra itu dikenali di serata dunia dengan kepelbagaian komposisi klasikal, klasikal ringan dan muzik popular.

Ia memiliki reputasi bertaraf dunia kerana memiliki pengalaman bekerjasama dengan artis ternama antarabangsa seperti Andrea Bocelli, Jose Carreras dan mendiang Luciano Pavarotti.

Mereka kerap membuat persembahan di festival muzik musim panas di London dan pentas utama seluruh dunia, bermula dari Asia ke Amerika utara dan selatan.

Anthony Weeden bertindak selaku konduktor dan beliau dikenali kerana gaya muziknya yang pelbagai serta melangkaui sempadan kebiasaan.

Hasil kerjanya yang pernah menerima anugerah sebelum ini termasuk skor filem 'Theory of Everything' oleh Johann Johannsson, pemenang anugerah Golden Globe bagi skor asli yang turut dicalonkan bagi hadiah Oscar.

Pemain violin solo akan menampilkan David Juritz, yang dikenali menerusi rakaman 'Vivaldi Four Seasons', penghasilan muzik yang menerima pujian pengkritik sebagai satu daripada interpretasi terbaik terhadap lagu yang paling kerap dirakam.

Selain menyokong kalendar kebudayaan negara pada Oktober, acara ini turut bertujuan mengumpul dana menerusi jualan tiket dan derma korporat untuk disalur bagi program pembangunan belia.

Kutipan akan diserahkan kepada dua penerima utama iaitu Jabatan Muzik, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).

Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran, berkata syarikat itu memberikan sokongan kepada 65 organisasi kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan jumlah dana sokongan diserah keseluruhan lebih RM8 juta.

"Sumbangan ini bukti kesungguhan kami mewujudkan usaha dan tanggungjawab terhadap masyarakat yang menjadi nilai utama organisasi kami," katanya pada sesi penerangan media di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama; Presiden PEKA,  Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil; serta pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Indra V Selvarajah.

Tiket boleh dibeli bermula hari ini dari Box Office di Dewan Filharmonik PETRONAS atau tempahan menerusi toyota.com.my.

Harga tiket ialah RM106, RM159, RM212 dan RM265 (termasuk GST).

Berita Harian X