Sabtu, 2 September 2017 | 4:54pm
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Asyraf Hamzah

Wujud dasar bebas dadah di tempat kerja

KUALA LUMPUR: Syarikat perlu mewujudkan dasar am keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi memastikan usaha pencegahan penyalahgunaan dadah di tempat kerja dapat disepadukan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penyalahgunaan dadah satu ancaman kerana kesannya menyebabkan kemalangan di tempat kerja.

Selain itu, beliau berkata, jika tidak dibendung, pekerja mudah jatuh sakit hingga produktiviti merosot dan mereka mencari peluang untuk ponteng.

Beliau mencadangkan enam perkara diketengahkan bagi membentuk dasar bebas dadah untuk meningkatkan produktiviti dan memberi jaminan kerjaya terhadap pekerja yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Dalam kenyataan di sini, hari ini, Lam Thye berkata pertama, komitmen dan kepemimpinan pihak pengurusan terhadap tempat kerja yang bebas daripada belenggu dadah.

Kedua, menubuhkan jawatankuasa bertindak melaksanakan pelbagai kegiatan dalam program membebaskan tempat kerja dari dadah.

Ketiga, mempertingkat program pendidikan dan kesedaran pekerja terhadap bahaya penyalahgunaan dadah dari masa ke masa.

Keempat, pelaksanaan program ujian air kencing untuk mengesan pekerja yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Kelima, peranan majikan yang perlu membantu pekerja bermasalah untuk mendapatkan rawatan pemulihan, nasihat dan kaunseling sebelum menghukum.

Keenam ialah penglibatan sektor korporat dengan menaja pertubuhan bukan kerajaan berkredibiliti untuk mengadakan kempen antidadah dalam masyarakat.

"Hasrat untuk menjadikan tempat kerja bebas dadah dapat dicapai jika program pencegahan dilaksanakan secara menyeluruh," katanya.

Berdasarkan statistik Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK), setakat Januari hingga September tahun lalu, sebanyak 22,058 penagih direkodkan dan jumlah itu meningkat 9.8 peratus daripada 20,091 penagih pada tahun 2015.

Lebih membimbangkan 75.1 peratus dari jumlah itu ialah penagih baru.

Berita Harian X