Ahad, 3 September 2017 | 3:15pm
ESHAH terpaksa dikurung di rumahnya di Kampung Derdap, Limbat bagi mengelakkannya keluar merayau. - Foto Siti Rohana Idris
ROSHAIZA (kiri) menguruskan keluarga seorang diri, termasuk menjaga ibunya yang diserang angin ahmar dan nyanyuk. - Foto Siti Rohana Idris

Terpaksa kurung ibu

KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal, Roshaiza Zakaria, terpaksa 'mengurung' ibunya setiap hari sebelum meninggalkan rumah.

Tindakannya itu mungkin mengundang rasa marah orang ramai yang lalu lalang berdekatan rumahnya, namun Roshaiza, 40, berkata, tindakan itu adalah untuk keselamatan ibunya, yang lumpuh sebelah badan dan nyanyuk.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Derdap, Limbat, di sini, Roshaiza, yang bekerja di sebuah pasar mini, baru saja selesai memakaikan lampin pakai buang kepada ibunya, Eshah Wan Ismail, 81, yang ditempatkan di sebuah ruang yang dikunci dari luar.

"Sudah banyak kali ibu keluar disebabkan pintu tidak dikunci dan pernah nyaris dilanggar lori kerana dia merayau-rayau menyebabkan saya terpaksa mengurung ibu," katanya ketika ditemui.

Bukan sahaja terpaksa menguruskan ibu, Roshaiza juga menjaga bapanya yang uzur, Zakaria Abdullah, 88 dan dua anaknya, berusia 17 tahun dan 19 tahun yang masih bersekolah serta menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Dengan gaji hanya RM400 sebulan, ditambah wang pencen arwah suami berjumlah RM200 sebulan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan untuk ayahnya, Roshaiza perlu bijak menguruskan perbelanjaan buat mereka sekeluarga.

Ada ketika, ibunya hanya dipakaikan kain lampin kerana tidak mampu membeli lampin pakai buang.

"Ibu bukan sahaja lumpuh sebelah tubuh dan nyanyuk, tapi juga tidak dapat bercakap sejak diserang angin ahmar kira-kira 10 tahun lalu.

"Sebelum ini, saya pernah membuat kek dan kuih untuk tempahan kecil-kecilan tapi terpaksa berhenti kerana saya sendiri tidak berapa sihat. Saya kerap mengalami pendarahan dalam hidung," katanya.

Orang ramai yang bersimpati dan mahu membantu keluarga ini, boleh hubungi Roshaiza di talian 011 21929805.

Berita Harian X