Selasa, 5 September 2017 | 12:31am
ANDREA Adrianna Law Abdullah, 31, (kanan) ketika menunggu van jenazah di Melaka Perdana Resort Homes sebelum bertolak menghantar jenazah Allahyarham suaminya, Alfian Rizal, 34, untuk disemadikan di Parit Yaani Tengah, Batu Pahat. - Foto Khairunisah Lokman
ANDREA Adrianna Law Abdullah, 31, (kanan) ketika menunggu van jenazah di Melaka Perdana Resort Homes sebelum bertolak menghantar jenazah Allahyarham suaminya, Alfian Rizal, 34, untuk disemadikan di Parit Yaani Tengah, Batu Pahat. - Foto Khairunisah Lokman
PENGHIDAP barah hati dan usus tahap empat, Alfian Rizal, 34, (kiri) dan isteri, Andrea Adrianna Law Abdullah, 31, (kanan) pada majlis pernikahan mereka di Melaka Perdana Resort Homes. - Foto Khairunisah Lokman
JENAZAH penghidap kanser usus besar dan hati tahap empat, Alfian Rizal, 34, diusung oleh ahli keluarga dan rakan untuk disemadikan di kampung halaman ibunya di Parit Yaani Tengah, Batu Pahat. Alfian Rizal bernikah dengan isterinya, Andrea Adrianna Law Abdullah, 31, yang juga saudara baru pada 26 Ogos lalu. - Foto Khairunisah Lokman

Menderita kanser, Alfian Rizal meninggal dunia

MELAKA: Alfian Rizal, pengantin baharu menghidap kanser usus dan hati tahap empat yang menikahi pasangannya, seorang mualaf pada 26 Ogos lalu, meninggal dunia, jam 5 petang Isnin.

Allahyarham Alfian, 34, menghembuskan nafas terakhir di rumah keluarganya di Ayer Keroh di sini, di sisi isteri, Andrea Adrianna Law Abdullah, 31, bapa dan ibunya.

Jenazah Alfian kemudian dibawa pulang ke kampung ibunya, Aisah Selamat, 57, di Parit Yani Tengah, Batu Pahat, Johor, jam 9.30 malam tadi untuk disemadikan.

Lebih 50 sahabat, termasuk saudara mara dan jiran hadir memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Bapa Allahyarham, Rizal Abdullah, 61, berkata anak tunggalnya itu pernah berpesan supaya jenazahnya dikebumikan di kampung dan mahu diuruskan oleh bapa saudaranya, Sulaiman Jantan, 55.

"Arwah memang rapat dengan bapa saudaranya dan dia sudah berpesan awal jika apa-apa yang berlaku ke atas dirinya, dia mahu dikebumikan di sana (kampung) dan diuruskan Cik Man (Sulaiman).

"Jadi, kami akur dengan pesanan terakhirnya untuk dikebumikan di sana. Alhamdulillah dia (arwah) pergi dengan tenang.

"Sebenarnya dalam hati saya ada terdetik yang arwah akan pergi meninggalkan kami hari ini dan saya reda dengan ketentuan Allah," katanya ketika ditemui.

BH pada 26 Ogos lalu melaporkan, Alfian dan Andrea disatukan dalam majlis pernikahan serba sederhana di Bukit Katil selepas 12 tahun berkenalan iaitu sejak sama-sama menuntut di Universiti Multimedia (MMU) Melaka.

Alfian yang menghidap penyakit berkenaan sejak Mac lalu dinikahkan oleh Ketua Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Majlis Agama Islam Melaka, Mohd Shokri Mustaffa, tatkala keadaan beliau sendiri yang sudah tidak berupaya untuk berdiri dan berjalan.

Berita Harian X