Rabu, 6 September 2017 | 7:30pm
TAYANGAN khas 'Road to Nationhood' di GSC NU Sentral. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PENGERUSI Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak (dua dari kiri), Penerbit Eksekutif Rack Focus Films, Ahmad Yazid (kiri), Pengerusi ASTRO, Tun Zaki Azmi (kanan), Cucu kepada Tun Tan Cheng Lock pengasas MCA, Datin Paduka Tan Siok Choo, Datin Paduka Tan Siok Choo (tengah) dan Pengarang Eksekutif Projek Khas NSTP, Azizi Othman (dua dari kanan) bergambar selepas menyaksikan tayangan khas 'Road to Nationhood' di GSC NU Sentral. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Dokumentari pembentukan Malaysia ilham arkib NSTP

KUALA LUMPUR: Filem dokumentari Road To Nationhood: Formation of Malaysia yang diilhamkan daripada buku terbitan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), bakal disiarkan dalam saluran ASTRO sempena Hari Malaysia.

Dokumentari itu masing-masing ditayangkan di saluran ASTRO History pada 16 September ini dan di saluran ASTRO Prima dan ASTRO Maya HD pada 17 September.

Filem dokumentari arahan Ahmad Yazid itu memaparkan sejarah pembentukan Malaysia yang meliputi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, sebelum Singapura keluar Malaysia  dan ia adalah kesinambungan dokumentari Road To Nationhood yang ditayangkan tahun lalu.

Filem dua episod mempunyai durasi tayangan selama 107 minit itu diterbitkan Rack Focus Films Sdn Bhd dengan kerjasama NSTP, manakala Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (ASTRO) dan A&E Networks Asia Pte Ltd (History Asia) menjadi penyiar rasmi filem dokumentari berkenaan.

Ahmad berkata, dokumentari itu turut memuatkan pandangan tokoh dan bekas pemimpin negara seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam; dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Selain itu katanya, bekas Menteri Kerjaraya dan Pengangkutan yang juga penerima Anugerah Tokoh Malaysia 2010, Tan Sri Ghani Gilong; bekas Menteri Kerja Raya, Tan Sri Leo Moggie; dan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, turut diwawancara adalah bekas Menteri Hal-Ehwal Sosial Singapura, Allahyarham Othman Wok; bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Allahyarham Tan Sri Abdullah Ahmad; dan cucu pengasas MCA, Tun Tan Cheng Lock, Datin Paduka Tan Siok Choo.

"Tanpa kerjasama NSTP, dokumentari ini pasti sukar direalisasikan kerana ia memerlukan kos tinggi untuk mendapatkan dokumen, gambar dan bahan dari pusat Sumber NSTP," katanya kepada media selepas majlis tayangan awal filem dokumentari itu kepada media di pusat beli-belah NU Sentral, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak; Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi; Naib Presiden (Berita) Astro, Vincent De Paul; Pengarang Eksekutif Projek Khas NSTP, Azizi Othman dan Pengarang Eksekutif (Berita) New Straits Times (NST), Muzli Mohd Zin.

Dalam pada itu, Azizi berkata, penerbitan dokumentari itu adalah inisiatif untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Katanya, sumber dokumentari berkenaan adalah arkib NSTP yang diakui memiliki kandungan dan sumber rujukan yang tepat dan terbaik di  negara ini dan implementasi menggunakan teknologi canggih menerusi perkongsian pintar dengan Rack Focus Film Sdn Bhd.

 

"Dokumentari ini ditayangkan untuk memperingati sejarah kemerdekaan negara dan pengorbanan tokoh negarawan dalam membentuk dan membangunkan Malaysia.

"Penerbitan dokumentari ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang supaya generasi baharu dapat memahami erti kemerdekaan yang sebenar," katanya.

Berita Harian X