Selasa, 12 September 2017 | 3:14pm
PEDATI membawa jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah meninggalkan Istana Anak Bukit, untuk diarak sejauh kira-kira 11km ke Makam Diraja Langgar. - Foto Shahrizal Md Noor
PEDATI membawa jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah meninggalkan Istana Anak Bukit, untuk diarak sejauh kira-kira 11km ke Makam Diraja Langgar. - Foto Shahrizal Md Noor

Jenazah diarak ke Makam Diraja Langgar

ALOR SETAR: Jenazah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah diarak menaiki pedati khas sejauh kira-kira 11 kilometer (km) dari Istana Anak Bukit ke Makam Diraja Langgar, di sini.

Jenazah Almarhum diarak di sepanjang Lebuh Raya Darulaman, sebelum melalui Jalan Tun Razak dan Jalan Langgar, di sini, menuju ke Makam Diraja Langgar.

Ditemani empat pawai (kerabat) di sebelah kiri dan kanan, pedati membawa jenazah yang bergerak meninggalkan Istana Anak Bukit kira-kira jam 2.30 petang itu, turut dinaiki empat pembawa payung dan tiga pembawa bintang.

Turut berarak mengiringi pedati jenazah ialah pedati nobat membawa barisan 13 alim ulama diketuai Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Datuk Syeikh Hasbullah Abdul Halim dan Mufti Kedah, Datuk Syeikd Fadzil Awang.

Turut berada di atas pedati nobat ialah Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang juga Ketua Istiadat, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah.

Kedua-dua pedati didahului pembawa cogan alam dan cogan agama, serta 44 pembawa tunggul, serta masing-masing 12 pembawa tombak, lembing dan pedang serta lapan pembawa bintang.

Terdahulu di pekarangan Istana Anak Bukit, rombongan pedati turut melalui kawalan kehormat diraja membabitkan tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Ke- 6 Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) yang berpangkalan di Kem Tok Jalai di Jitra, dekat sini.

Pada masa sama 89 das tembakan istiadat meriam menyamai usia Almarhum dilepaskan 41 Bateri Artileri Istiadat Rejimen Artileri Diraja yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh, Selangor, sebagai perlambangan mengiringi pemergian baginda untuk istiadat pemakaman.

Rakyat jelata tidak melepaskan peluang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Kedah ke-27 itu.

Malah, perarakan membawa jenazah itu turut dianggap suatu yang cukup bersejarah terutama dengan tempoh perkhidmatan lama baginda Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, selaku satu-satunya Raja Melayu yang menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Tidak hairanlah rata-rata mereka sanggup berada di sepanjang laluan perarakan ditetapkan walaupun dalam cuaca panas, untuk menatap pemergian Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang dikenali sebagai sultan berjiwa rakyat itu.

Nurul Syafinaz Malek, 21, berkata dia dan keluarga sanggup memandu sejauh kira-kira 100 kilometer (km) dari Baling untuk memastikan hasrat memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum tercapai.

"Saya dan keluarga bertolak dari Baling jam 7 pagi dari Kampung Seberang Banggol Lada dan sebaik saja sampai ke Istana Anak Bukit, kami terus masuk dan sedekahkah Al-Fatihah...perasaan sedih menyelubungi saya dan keluarga sejak semalam," katanya.

Norhidayah Ahmad, 53, pula berkata dia sanggup menyediakan bas persiaran bagi membawa rombongan dari kampungnya di Kulim untuk memberikan penghormatan tgerakhir kepada baginda.

"Saya tak pernah berkesempatan menatap wajah Tuanku dari dekat, namun kali ini saya sanggup mohon cuti dari majikan di Pulau Pinang semata-mata untuk menatap jenazah baginda dari dekat.

"Baginda seorang sultan yang sangat baik dan banyak berjasa untuk rakyat, malah bersopan santun apabila bertitah. Sebab itu rakyat Kedah sayangkan baginda," katanya.

Jenazah Almarhum Sultan Kedah dijangka tiba di Makam Diraja Langgar kira-kira jam 4 petang untuk meneruskan istiadat pemakaman.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X