Selasa, 12 September 2017 | 5:20pm

Almarhum Sultan Abdul Halim disemadi

ALOR SETAR: Jenazah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, 89, disemadikan di Makam Diraja Langgar, di sini, kira-kira jam 5.15 petang tadi.

Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada kerabat diraja dan rakyat hadir pada istiadat pemakaman itu untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum.

Terdahulu, jenazah baginda yang diarak menggunakan pedati kira-kira 11 kilometer dari Istana Anak Bukit, di sini, dibawa ke kawasan makam tepat jam 4 petang.

Turut mengiringi jenazah ialah Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah yang baharu dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 dan kerabat diraja.


JENAZAH Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah tiba di Makam Diraja Langgar. - Foto Azhar Ramli

Bacaan talkin dilakukan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, manakala tahlil diketuai Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim.

Terdahulu, jenazah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah diarak di sepanjang Lebuh Raya Darulaman, sebelum melalui Jalan Tun Razak dan Jalan Langgar, di sini, menuju ke Makam Diraja Langgar, dengan penuh istiadat.

 

Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang diputerakan pada 28 November 1927 mangkat di Istana Anak Bukit jam 2.30 petang semalam.

Pengumuman kemangkatan dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, melalui sidang media khas petang semalam, dengan tujuh hari tempoh berkabung ditetapkan di Kedah, dengan semua keraian, perayaan dan sambutan dibatalkan.

Bendera Kedah di semua bangunan Persekutuan, negeri dan milik awam di negeri ini juga perlu dikibarkan separuh tiang sepanjang tiga hari bermula semalam.

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah satu-satunya Raja Melayu yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Kali pertama selaku Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975 dan kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember 2011 hingga 13 Disember 2016.


JENAZAH Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dimakamkan pada istiadat pengebumian di Makam Diraja Langgar. - Foto Sharul Hafiz Zam
156 dibaca
JENAZAH Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah diarak di sepanjang Lebuh Raya Darulaman menuju ke Makam Diraja Langgar, dengan penuh istiadat. - Foto Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X