Khamis, 21 September 2017 | 3:46pm
MOHD Azmi Abdul Hamid (tengah) selepas sidang media berhubung isu Rohingya di Kompleks Belia Cheras, turut hadir Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Saparudin Yusup (kiri). - Foto Yazit Razali

120 NGO berhimpun bincang isu Rohingya

KUALA LUMPUR: Sebanyak 120 badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa bakal dihimpunkan dalam satu mesyuarat bagi membincangkan strategi menangani isu Rohingya, bulan depan.

 

Mesyuarat yang akan diadakan pada 2 hingga 3 Oktober di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini, bakal menyaksikan penyertaan NGO dari negara ASEAN serta Bangladesh, India, China dan Eropah.

 

Selain itu, badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Belia Asia (AYC) juga dijangka menyertai sidang mesyuarat anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan IYC.

 

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata, beberapa perkara akan dibincangkan ketika sidang itu meliputi usaha melobi, misi kemanusiaan, mobilisasi massa, kempen media, tekanan antarabangsa serta tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Myanmar.

 

Katanya, isu lain yang akan dibangkitkan termasuklah menggesa PBB untuk campur tangan serta ASEAN menolak Myanmar keluar daripada komuniti rantau itu.

 

"Kami juga akan meminta wakil NGO yang hadir untuk mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Myanmar , bagi menuntut mereka menghentikan jenayah kemanusiaan terhadap etnik Rohingya.

 

"Kami mahu menghantar mesej kepada Kerajaan Myanmar dengan menunjukkan kebersatuan kami dalam usaha menghentikan genosid di Arakan," katanya pada sidang media Mesyuarat Strategi NGO Serantau Berhubung Isu Rohingya di IYC di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusup dan Eksekutif Kanan (Program) IYC, Marzuki Hashim.

 

Mohd Azmi berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk mengumpul tandatangan lebih 100 penerima Anugerah Nobel Keamanan sebagai petisyen menggesa anugerah sama diberikan kepada Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi ditarik semula.

 

Selain itu, beliau turut menggesa orang ramai untuk menyertai himpunan sejuta rakyat yang dijangka pada hujung Oktober depan, sebagai tanda membantah jenayah kemanusiaan dilakukan tentera dan Kerajaan Myanmar.

 

Terdahulu, media dipaparkan dengan video situasi kedaifan pelarian Rohingya di kem pelarian Kutupalong di Bangladesh, dirakam sendiri Setiausaha Agung MAPIM, Zulhanis Zainol ketika misi kemanusiaannya pada 12 hingga 19 September lalu.

Berita Harian X