Selasa, 26 September 2017 | 2:33pm
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama peserta Program Usahawan Bergerak [email protected] pada Majlis Penyerahan [email protected] 2017 Peringkat Zon Selatan di Giatmara Prima Ledang. - Foto Adi Safri

Usahawan [email protected] perlu kreatif

TANGKAK: Semua usahawan 'mobilepreneur' di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) perlu lebih kreatif dalam menyediakan perkhidmatan dan memperluaskan jaringan pemasaran perniagaan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun kementerian menetapkan 13 bidang utama bagi program itu, usahawan boleh mempelbagai bidang perniagaan.

Ini kerana, katanya, objektif program berkenaan adalah untuk meningkatkan ekonomi khususnya dalam kalangan belia luar bandar.

"Sebab itu saya kata mereka mesti kreatif dalam mempelbagaikan bidang perniagaan termasuk promosi dan tidak boleh mengharapkan (bantuan) kementerian sahaja.

"Contoh, usahawan bidang automotif mungkin diminta membaiki kereta, tetapi pada masa sama boleh tawar perkhidmatan tambahan seperti mencuci kereta dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, program berkenaan bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan dan secara tidak langsung dapat menambah pendapatan mereka.


DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) diiringi Datuk Dr Hamim Samuri (kiri) pada Majlis Penyerahan [email protected] 2017 Peringkat Zon Selatan di Giatmara Prima Ledang. - Foto Adi Safri

"Untuk program ini, kita menyasarkan pendapatan minimum RM2,000 sebulan bagi setiap usahawan," katanya selepas Majlis Penyerahan [email protected] Zon Selatan di GiatMARA Prima Ledang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat.

Terdahulu, Ismail Sabri menyerahkan motosikal berserta peralatan kepada 152 usahawan [email protected] bagi Zon Selatan.

Mereka sebahagian daripada 3,000 peserta program terbabit di seluruh negara. Program selepas ini akan diadakan di Zon Pantai Timur, Utara, Tengah, Sabah dan Sarawak.

Ismail Sabri berkata, program itu juga sebahagian daripada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Bajet 2017 yang menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta.

Katanya, ia susulan kejayaan rintis program itu pada 2016 yang membabitkan 500 usahawan.

"Ini sebahagian usaha kerajaan menerusi program transformasi luar bandar bagi meningkatkan ekonomi masyarakat termasuk belia," katanya.

Berita Harian X