Rabu, 27 September 2017 | 5:55pm
PENGERUSI SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah ketika melancarkan aplikasi mudah alih semakan daftar pemilih "MySPR Semak" di Putrajaya, turut kelihatan Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood (kiri), Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh (kanan) dan Setiausaha Bahagian (Pengurusan Maklumat) SPR, Mohd Rosni Ali Mokhtar (dua kanan). - Foto Mohd Fadli Hamzah

Mahasiswa tidak minat daftar - SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati kebanyakan pelajar institusi pendidikan tinggi tidak berdaftar sebagai pemilih kerana beranggapan mereka tidak perlu mendaftar dan tidak tahu tempat pendaftaran.

Selain itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata mereka juga memberi alasan enggan terbabit dalam politik dan berpendapat undi mereka tidak bermakna hingga tidak mahu mendaftar sebagai pemilih.

Atas empat alasan utama itu, katanya, hanya 2,700 daripada kira-kira 30,000 mahasiswa yang mengunjungi Program Pendidikan Pengundi anjuran SPR sejak Februari lalu mendaftar sebagai pemilih.

Beliau berkata, jumlah pendaftaran yang terlalu kecil itu jelas menunjukkan kurangnya kesedaran dalam kalangan generasi berusia antara 21 hingga 39 tahun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

  "Alasan biasa diberikan pelajar yang ditemui ini ialah tidak tahu perlu daftar dan di mana perlu daftar, malah ada yang kata tidak mahu terbabit dalam politik selain beranggapan satu undi mereka tidak memberi sebarang makna.

  "Ini baru fasa pendaftaran. Bermacam-macam alasan dan persepsi negatif diberikan. Belum lagi fasa untuk keluar mengundi. Jadi, kalau SPR tidak ambil tindakan lebih agresif untuk meminta golongan muda mendaftar, pasti jumlah yang tidak mendaftar kian bertambah," katanya.

  Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran aplikasi mudah alih MySPR Semak dan sambutan Hari Ulang Tahun SPR ke-60, di sini hari ini.

  Beliau berkata, SPR menambah satu lagi saluran kemudahan bagi pengundi untuk menyemak daftar pemilih menerusi aplikasi mudah alih MySPR Semak.

  Sebelum ini, katanya, pelbagai saluran disediakan bagi kemudahan semakan daftar pemilih seperti di ibu pejabat SPR, kaunter bergerak SPR, semakan secara dalam talian menerusi portal SPR dan khidmat pesanan ringkas MySMS.

  "Kini melalui aplikasi MySPR ini, warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih boleh menyemak status pendaftaran dan lokasi tempat mengundi mereka.

  "Aplikasi mudah alih MySPR Semak yang boleh dimuat turun melalui PlayStore dan AppStore," katanya.

INFO

MySPR Semak :

* Nama calon

* Keputusan pilihan raya umum/negeri 

Berita Harian X