Khamis, 5 Oktober 2017 | 5:29pm

Peralihan monsun diramal bermula esok

 

KUALA LUMPUR: Peralihan monsun yang diramal bermula esok sehingga awal bulan depan, dijangka menyebabkan ribut petir, banjir kilat dan ribut.

Angin kencang juga diramal menghasilkan hujan batu di beberapa tempat dan puting beliung berskala kecil susulan pembentukan awan kumulunimbus.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari, berkata pada masa sama, kawasan serantau negara ini akan menerima tiupan angin dari pelbagai arah dengan kelajuan lemah.

"Dalam tempoh ini, kejadian hujan lebat dan ribut petir dalam waktu singkat serta angin kencang akan lebih kerap berlaku, terutama pada waktu petang dan awal malam.

"Keadaan ini biasanya berlaku di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah, kawasan barat serta tengah Sarawak," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata, peralihan monsun biasa berlaku setiap tahun tetapi kesannya tidak serius berbanding cuaca musim tengkujuh yang diramal November ini.

"Elakkan meletak kenderaan di kawasan mempunyai banyak pokok tinggi dan papan tanda yang dikhuatiri boleh tumbang akibat angin kencang atau ribut petir," katanya.

Maklumat terkini berkaitan cuaca boleh diperoleh melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia atau www.met.gov.my, aplikasi mobil-myCuaca, Facebook malaysiamet, Twitter @malaysiamet atau MMD Hotline di talian 1300 22 1MET (1638).

Berita Harian X