Sabtu, 7 Oktober 2017 | 12:17am
TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil. - Foto Hafizudin Mohd Safar

9 tahun SPRM tunggu janji tambah anggota

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menunggu untuk bilangan anggotanya ditambah kepada 5,000 orang seperti yang dijanjikan sembilan tahun lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, berkata janji itu disuarakan kerajaan pada tahun 2008 sewaktu Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditransformasikan menjadi suruhanjaya bebas berkenaan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Katanya, kekurangan anggota itu menyebabkan SPRM berhadapan kekangan untuk menjalankan penguatkuasaan serta program pendidikan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung rasuah.

"Sewaktu transformasi menjadi SPRM, kerajaan bersetuju untuk menjadikan jumlah anggota kepada sekurang-kurang 5,000 bagi mencontohi model Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong.

"Ketika itu, Pak Lah (Abdullah) bersetuju dengan pertambahan anggota berkenaan namun sehingga sekarang, jumlah itu masih belum tercapai dan setakat ini, SPRM hanya memiliki 2,800 anggota," katanya pada Sidang Meja Bulat Harapan Rakyat Malaysia Sempena Ulang Tahun BPR/SPRM Ke-50 di sini.

Turut hadir, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim; Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah dan Pengasas Humanology Sdn Bhd, Prof Dr Leow Chee Seng.

Dalam sidang meja bulat anjuran MCW itu, lebih 30 individu mewakili pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) berbincang dan berkongsi pandangan berhubung isu rasuah di negara ini, strategi serta kaedah membantu SPRM menangani rasuah dan salah guna kuasa.

Sidang itu turut sepakat menolak cadangan penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) yang dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, bagi memastikan SPRM bebas daripada sebarang gangguan dalam menjalankan tugas.

Sementara itu, Shamsun Baharin menegaskan SPRM tidak pernah menghentikan siasatan dalam beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini walaupun ia seolah-olah 'senyap' ketika ini.

"Contohnya, kes Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sudah didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Kes membabitkan MARA (pembelian hartanah oleh MARA Incorporated Sdn Bhd) pula masih dalam siasatan dan mengambil sedikit masa, khususnya untuk dapatkan dokumen daripada negara luar, selain SPRM belum dapat maklum balas Peguam Negara Australia sejak lapan bulan lalu," katanya.

Berita Harian X