Sabtu, 7 Oktober 2017 | 6:36pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun (tengah), dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noorpada (kiri) antara lima penerima darjah kebesaran tertinggi Sabah, bersama Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din (kanan) ketika hadir di Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat sempena sambutan Hari Jadi Rasmi TYT Ke-64 di Istana Negeri, Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Polis guna teknologi tangani jenayah siber

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang mengukuhkan sistem komunikasi dan penggunaan teknologi maklumat secara meluas untuk menangani jenayah siber, termasuk membabitkan media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun, berkata aspek itu diberi tumpuan berikutan peningkatan kes jenayah siber terutama menerusi media sosial yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

Beliau berkata, perkara itu antara keutamaan pihaknya bagi mengukuhkan keupayaan pasukan polis dalam menangani jenayah baharu, selain aspek logistik untuk memastikan kelancaran operasi PDRM di seluruh negara.

"Kita sudah mengemukakan beberapa cadangan untuk mengukuhkan perkara berkaitan komunikasi dan teknologi terutama meningkatkan tahap komunikasi dan penggunaan teknologi maklumat secara meluas khususnya perkara berkaitan dengan siber.

"Jadi kita berharap kerajaan dapat memberi perhatian terhadap perkara yang saya sebutkan tadi dalam Bajet 2018, selain isu logistik, misalnya keperluan kenderaan untuk kukuhkan operasi terutama di Sabah dan Sarawak.

"Ia termasuk sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya selepas menerima pingat kebesaran sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-64 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohd Fuzi berkata, polis turut memberi tumpuan kepada usaha memerangi penyebaran ideologi Daesh dan jenayah lain menerusi penggunaan teknologi bagi mengukuhkan sistem pemantauan.

"Kita kena mantapkan sistem pemantauan dan lainnya untuk memastikan kita dapat memerangi atau mengatasi jenayah bersindiket, berkumpulan, bersenjata api dan pengedaran dadah di dalam dan luar negara.

"Ini perkara fokus yang kita gariskan kepada kerajaan yang perlu diberi perhatian, selain kebajikan pegawai dan anggota di semua peringkat di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyuarakan keperluan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokap PDRM bagi menangani kes tahanan mati selain menyelesaikan isu balai polis usang.

123 dibaca
Berita Harian X