Selasa, 10 Oktober 2017 | 3:44pm
(DARI KIRI) Norman, Mike Weatherly, Frank Rittman dan Ahmad Izham ketika ditemui sempena Forum Cetak Rompak Kandungan anjuran CMCF di Cybertorium, Menara The Star di Petaling Jaya. - Foto Sairien Nafis

Laman web haram, cetak rompak digital dipantau

KUALA LUMPUR: Pemain industri media dan pembekal kandungan di negara ini, hari ini melancarkan senarai pemantauan laman web haram yang melanggar hak cipta (Infringing Watch List - IWL) bagi mengekang cetak rompak digital yang semakin parah.

IWL yang diguna pakai di negara maju seperti United Kingdom (UK) akan menjadi senarai rujukan pengiklan sebelum mengiklankan sebarang produk secara digital.

Mekanisme ini bertujuan mengurangkan pendapatan pengiklanan bagi laman web haram yang melanggar hak cipta.

Inisiatif bersifat 'voluntary' itu disokong semua pihak berkepentingan dalam industri media dan pembekal kandungan antaranya, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Motion Picture Association (MPA), Pusat Promosi Kandungan (CCP), Media Specialists Association (MSA), Astro dan Media Prima.

Ia turut mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengerusi CMCF, Datuk Ahmad Izham Omar berkata aktiviti cetak rompak digital semakin parah di Malaysia dengan statistik menunjukkan 'page views' di laman web cetak rompak mencatatkan 3.25 kali ganda lebih tinggi daripada laman web sah seperti tonton, Astro atau netflix.com.

Ahmad Izham, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios (PWS) berkata, statistik menunjukkan jumlah tontonan di lima laman web sah tertinggi di Malaysia mencatatkan 21.9 juta tontonan, berbanding 71.4 juta tontonan di lima laman web haram yang melanggar hak cipta.

"Ini amat menakutkan. Kalau diterjemahkan (pendapatan) RM100 juta, maknanya RM300 juta lagi hilang.

"Ia kerugian kepada industri dan kerajaan," katanya ketika ditemui sempena Forum Cetak Rompak Kandungan anjuran CMCF di Cybertorium, Menara The Star di Petaling Jaya.

Forum dihadiri pemain industri itu turut menampilkan antara lain Pengarah Pengasas Pusat Promosi Kandungan (CCP), Frank Rittman; Bekas Penasihat Hakta Intelek kepada Perdana Menteri Britain, Mike Weatherley; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim; Pengarah Serantau Operasi Digital MPA International, Oliver Walsh dan Presiden MSA, Yap Chee Weng.

Weatherley berkata isu cetak rompak hanya boleh diatasi dengan pendidikan berterusan kepada umum dan sekatan ke atas laman web berkenaan, bagaimanapun IWL akan menyekat pemilik jenama daripada mengiklan di laman web yang tidak sah.

"Jika kita boleh sekat wang (iklan) dari masuk ke laman web haram, maka kita akan ambil 80 peratus dari faktor kewujudan laman web yang melanggar hak cipta itu," katanya sambil menegaskan kerjasama semua pihak, termasuk pihak berkuasa amat penting dalam menangani cetak rompak digital. 

Sementara itu, Norman, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Anti-Cetak Rompak, menyifatkan pelancaran senarai pemantauan laman web haram yang menjadi rujukan pihak pengiklan itu sebagai langkah permulaan yang baik untuk industri.

"Kita berharap cara ini akan mengurangkan cetak rompak digital. Setiap saat (filem cetak rompak digital) ditayangkan ia akan menyebabkan kerugian kepada industri," kata Norman menegaskan pihak penguatkuasaan perlu menggandakan usaha menangani masalah cetak rompak dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Oliver Walsh dalam pembentangannya berkata jika pihak industri tidak mengambil langkah agresif dalam menangani cetak rompak digital, operator laman web haram terbabit dijangka menjana keuntungan iklan tambahan mencecah RM748 juta atau kira-kira USD177 juta.

98 dibaca
Berita Harian X