Selasa, 17 Oktober 2017 | 4:52pm
AWANG Adek Hussin (tengah) beramah mesra dengan tenaga pengajar KPTM Bangi sempena lawatan kerja rasmi ke Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi. - Foto Zulfadhli Zulkilfi

KPTM terus lahirkan graduan berdaya saing

BANGI: Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui agensi pendidikan seperti Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) akan terus menumpukan kepada usaha melahirkan modal insan dengan nilai kebolehpasaran tinggi sejajar dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50).

KPTM melalui Program Transnasional dengan Dublin Business School Ireland misalnya, turut menawarkan program ijazah sarjana muda perakaunan dan kewangan (BAFF) sebagai batu loncatan kepada pelajarnya untuk mendapat kelayakan profesional Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Pengerusi MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, melalui program pengajian berkembar ditawarkan dengan yuran jauh lebih murah berbanding pengajian di luar negara itu, pelajar yang mengikuti BAFF mendapat pengecualian sembilan daripada 14 kertas ACCA.

Katanya, program seumpama itu adalah contoh usaha berterusan MARA dalam memperkasakan agenda pendidikan Bumiputera yang menerima peruntukan tahunan sekitar RM1.5 bilion setahun daripada kerajaan.

"Pelajar juga mendapat peluang penajaan khususnya yang tergolong dalam B40 (merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan bulanan RM3,900 dan ke bawah) dan memenuhi syarat (kelayakan pengajian)," katanya kepada media selepas sesi lawatan kerja Pengerusi MARA ke KPTM Bangi di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar KPTM, Nordin Ahmad.

Mengulas mengenai program bacelor perakaunan dan kewangan yang diperkenalkan sejak 2014, Awang Adek berkata program "twinning" itu menerima sambutan menggalakkan dengan 353 pelajar mengikutinya tahun ini, berbanding 214 pelajar pada tahun lalu.

Awang Adek yang menyifatkan dirinya sebagai "produk MARA" kerana pernah menerima tajaan pendidikan daripada agensi itu pada 1970-an berkata, 80 hingga 85 peratus daripada graduan keluaran KPTM mendapat kerja kerana silibus kolej itu yang mengikut keperluan industri.

Katanya, sehingga hari ini seramai 1.2 juta warga Malaysia menerima pelbagai manfaat pendidikan daripada MARA yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan kelompok Bumiputera.

Ketika berucap kepada warga KPTM sebelum itu, Awang Adek turut melahirkan kebimbangan mengenai kecenderungan pihak tertentu yang cuba mengenepikan kepentingan menjaga kelompok Bumiputera dengan menggunakan alasan kesamarataan.

KPTM akan melangsungkan Majlis Konvokesyen Ke-34 pada 28 hingga 30 Oktober depan yang akan menyaksikan seramai 5,578 graduan dari cawangan KPTM dan KUPTM (Kolej Universiti Poly-Tech MARA) menerima diploma dan ijazah.

Berita Harian X