Rabu, 18 Oktober 2017 | 12:45pm
MOHD Azmi Abdul Hamid. - Foto Yazit Razali
MOHD Azmi Abdul Hamid. - Foto Yazit Razali

Myanmar wajar dikenakan sekatan ekonomi

KUALA LUMPUR: Kenakan sekatan ekonomi atau hantar pasukan tentera pengaman ke wilayah Rakhine di barat Myanmar dengan segera.

Itu dua pilihan tegas masyarakat dunia untuk selesaikan konflik di Rakhine selepas Myanmar menolak pujukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menerima balik ratusan ribuan etnik Rohingya yang lari ke Bangladesh.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata keengganan Myanmar menerima pekerja bantuan kemanusiaan ke Rakhine menunjukkan sikap angkuh negara itu.

Katanya, masyarakat dunia perlu memandang serius tindakan dan sikap Myanmar itu.

"Ini kemuncak kedegilan dan tidak hormat Myanmar kepada desakan dunia.

"Kalau mereka tidak beri akses kemanusiaan, dunia tiada pilihan kecuali mengenakan sekatan ekonomi dan menimbangkan untuk hantar tentera pengaman ke Rakhine," katanya ketika dihubungi dari Dhaka, di sini hari ini.

Mohd Azmi yang membuat tinjauan keadaan pelarian Rohingya di Bangladesh mengulas mengenai kegagalan wakil PBB memujuk Myanmar untuk menerima kembali etnik Rohingya yang lari berlindung di Bangladesh, selain membenarkan kemasukan pekerja bantuan ke Rakhine.

Lebih setengah juta pelarian Rohingya lari dari wilayah Rakhine di Barat Myanmar ke Bangladesh ekoran operasi berdarah Tentera Myanmar di wilayah barat negara itu.

Mohd Azmi berkata, dunia khususnya ASEAN perlu bertindak segera kerana konflik Rakhine Buddha-Rohingya Muslim akan menggugat kestabilan serantau.

"Kita bimbang ia akan menggugat kestabilan rantau ini dan wilayah itu menjadi medan perang proksi antara kuasa besar seperti di Asia Barat," katanya.

Mengulas mengenai bantuan kemanusiaan Rohingya di Bangladesh, Azmi berkata, MAPIM bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk membantu etnik Rohingya di wilayah Cox's Bazar.

Ini termasuk hasrat Malaysia membuka hospital medan bagi merawat pelarian etnik Rohingya di kem dan penempatan pelarian di Bangladesh.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X